Pertama kali muncul sebagai Wonder Women dalam filem Batman v Superman: Dawn of Justice, pelakon jelita Gal Gadot mendedahkan berdepan kesukaran memakai kostum adiwira itu kerana terlampau ketat.
Model berusia 32 tahun itu memberitahu mengambil keputusan untuk ke gim bagi menguruskan lagi badannya supaya dapat muat dalam kostum berkenaan. “Saya tidak dapat bernafas ketika kali pertama mencuba kostum Wonder Woman kerana terlalu ketat. Selepas ke gim, saya dapat memakai kostum itu tanpa masalah,” katanya.
Bagaimanapun, Gadot berkata, bahagian kostum produksi kemudian berubah fikiran dan mahu mengecilkan lagi saiz pakaian Wonder Woman. “Namun, saya menjelaskan kepada mereka saya perlu oksigen dalam badan sepanjang penggambaran filem.
“Akhirnya mereka bersetuju dan mengubah suai semula kostum terbabit. Saya memakai kostum itu setiap hari dan penggambaran berlangsung selama 117 hari. “Versi baru kostum Wonder Woman memang menarik dan saya dapat menggunakannya untuk tidur. Ia seperti baju tidur,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai lakonannya dalam filem Wonder Woman, Gadot mengakui wataknya sebagai adiwira dan puteri Amazon amat mencabar. Filem Wonder Woman arahan Patty Jenkins akan menemui penonton di seluruh negara pada 1 Jun ini. Turut beraksi di sisi Gadot adalah pelakon Robin Wright, Chris Pine dan David Thewlis.
0 comments:
Post a Comment