• PANAS

    Wednesday, 17 May 2017

    Internet Ragut Kehidupan Peribadi

     


    Filem adaptasi novel karya Dave Eggers, The Circle yang bakal menemui penonton mulai Khamis depan memperlihatkan kehidupan dan keadaan masyarakat dunia pada era media sosial hari ini. 

    Filem thriller bernuansa sindirin itu diarahkan James Ponsoldt yang menerima banyak pujian daripada penonton menerusi kejayaan filem terdahulu seperti Smashed (2012), The Spectacular Now (2013), dan The End of the Tour (2015). Menurut Ponsoldt, untuk menghasilkan sebuah filem adaptasi novel yang besar bukan tugas yang mudah.

    Katanya, sasaran penonton sudah pasti tertumpu kepada pembaca novel itu sendiri yang ingin melihat apa mereka baca sebelum in divisualkan, manakala watak dalam naratif cerita sudah ada dan melekat dalam kepala masing-masing.

    “The Circle bukanlah sebuah kisah yang mudah untuk diadaptasi. Ketika membaca novel itu, saya dapat merasai satu semangat dan idea yang besar cuba diterjemahkannya. Jalan cerita novel itu sebenarnya boleh melengkapkan saya membuat 10 episod drama bersiri atau mungkin lebih.

    “Dalam filem ini, saya mengambil masa lama untuk memilih jalan cerita yang perlu saya fokuskan bagi memastikan susunan dan graf filem ini berjalan dengan baik. Sebenarnya banyak babak menarik dalam novel ini yang saya kira lebih sesuai untuk divisualkan kepada penonton kerana ia akan lebih jelas dan seronok untuk dikongsikan,” katanya.

    Ponsoldt berkata, babak paling mencabar adalah ketika mahu merangkumkan perasaan Mae lakonan Emma Watson yang penuh dengan kerunsingan dan kebimbangan akibat kesedihan. “Saya tidak pasti sama ada penonton dapat berasakan perasaan yang cuba dilepaskan Mae apabila dia membuat semua ahli The Circle patah semangat,” katanya.

    Mengundang Tom Hanks, Emma Watson dan Bill Paxton sebagai teraju utama, The Circle memiliki seluruh formula yang bakal membuat penonton terus melekat menontonnya. Menyentuh mengenai barisan pelakon, Ponsoldt mengakui teruja dan seronok sepanjang sesi penggambaran.

    “Semua pelakon dianugerahkan bakat semula jadi di depan kamera, malah mereka mempunyai satu karisma dan versatil dalam membawakan setiap watak. Berpeluang bekerjasama dengan Tom Hanks, saya tidak mempunyai sebarang masalah kerana pengalaman lakonan dan hasil kerja mantap yang diberikan sepanjang mencanai bakat dalam industri membuatkan segalanya dipermudahkan. 

    “Lagipun, dia tahu bagaimana untuk membaca dan memahami sesuatu babak itu . Bayangkan dia memberi pelbagai kejutan yang akan membuatkan penonton terkesima nanti,” katanya. Menurut Ponsoldt, sebaik dia mengetahui barisan pelakon yang bakal membintangi filemnya itu, dia bertemu dan mendengar idea mereka untuk menambah baik jalan cerita filem itu.

    “Saya sentiasa terbuka menerima idea menarik dan apa saja garis panduan yang ditetapkan setiap pelakon. Bagi saya, perkongsian ini membantu saya menambah lompong yang kurang terhadap filem itu selain membentuk keserasian yang baik antara kami,” katanya.

    Filem ini mengisahkan Mae Holland (Emma Watson) yang diterima bekerja sebagai pelayan pelanggan di sebuah syarikat Internet terkemuka, The Circle yang dipimpin Eamon Bailey (Tom Hanks) dan Tom Stenton (Patton Oswalt).

    Ketika The Circle bakal melancarkan sebuah produk baru iaitu sebuah kamera berukuran kecil yang terhubung ke Internet, Mae memilih untuk bereksperimen dengan alat itu dengan membuat hidupnya menjadi tontonan langsung bagi setiap orang.

    Awalnya, eksperimen itu berjalan lancar apabila Mae mendaki puncak populariti dan menjadikan The Circle sebagai perniagaan dengan pengaruh yang sangat besar terhadap masyarakat. Namun, secara tidak sedar populariti Mae di Internet meragut kehidupan peribadinya dan membuatnya menjadi terasing daripada orang yang dahulu dekat dengan dirinya. 

    Emma berhati-hati dengan media sosial

    Emma yang memegang karakter utama sebagai Mae Holland menganggap filem ini banyak memberi pengajaran dan membuka matanya terhadap dunia media sosial dan Internet.

    “Ketika dilamar membintangi filem ini, saya sangat tertarik dengan jalan cerita dan judulnya. Saya dapati dengan membintangi filem ini saya dapat membawa mesej positif selain watak yang diberikan ini belum pernah saya lakonkan sebelum ini.

    “Menyentuh mengenai pengajaran filem ini, media sosial ada baik dan buruknya. Jika digunakan dengan cara yang salah, ia boleh membawa mudarat kepada kita,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Internet Ragut Kehidupan Peribadi Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top