• PANAS

    Friday, 19 May 2017

    Piala FA : Kedah Dan Pahang Bersiap Sedia




    JAGOAN utara, Kedah tidak berasa gentar untuk berdepan pasukan gergasi Pantai Timur, Pahang pada aksi final Piala FA di Stadium Shah Alam, esok. Skuad bimbingan Mohd. Nidzam Adzha Yusoff itu tekad mempamerkan semangat juang tinggi untuk menahan amukan skuad Tok Gajah bagi menamatkan penantian sembilan tahun merangkul trofi sejak kali terakhir dimenangi pada tahun 2008.

    Kapten Kedah, Khairul Helmi Johari serta rakan sepasukan enggan mengaku kalah sebelum tiupan wisel terakhir kerana skuad Helang Merah mempunyai keberanian dan perjuangan yang kental. 

    Katanya, pemain-pemain Kedah akan beraksi dengan penuh bertenaga tanpa mengenal erti penat dan lelah kerana mereka tidak mahu pulang dengan tangan kosong. “Kedah mempunyai kekuatan tersendiri. Kita bermain sebagai satu pasukan,” katanya. Juara Piala Malaysia edisi 2016 itu pernah menjuarai Piala FA pada 1996, 2007 dan 2008.

    Sementara Pahang pula bakal mempertaruhkan tenaga baharu dari Argentina, Yamil Romero. Pemain berusia 21 tahun itu, dilihat gigih menjalani latihan bersama skuad Tok Gajah di sejak Isnin lalu, sekali gus mencetuskan spekulasi bekas penyerang skuad Boca Juniors II dan Juventud Unida bakal menjadi senjata sulit Pahang.

    Mengulas teka-teki itu, Kapten Pahang, Matthew Davies memberitahu, keputusan menamakan pemain itu menyertai kesebelasan utama atau senarai simpanan tertakluk di bawah kehendak ketua jurulatih skuad Tok Gajah, Dollah Salleh.

    “Semua keputusan bagi senarai kesebelasan utama di bawah perancangan jurulatih (Dollah). Saya tidak pasti sama ada Romero akan diturunkan, walaupun dia sudah menjalani latihan bersama pasukan sejak beberapa hari lalu,” katanya.

    Proses kemasukan Romero ke dalam skuad Tok Gajah diselesaikan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) minggu lalu bagi menggantikan Chinedu Bright Dike yang ditamatkan kontrak. 

    Sebagai rekod, Romero pernah mencetak 27 gol sepanjang beraksi dalam kancah Primera Division 2 Argentina bersama Boca Juniors II bagi musim 2014/15 serta Juventud Unida (2016/17) sebelum disunting skuad Tok Gajah menerusi jendela perpindahan pertengahan musim ketika ini.

    Dalam pada itu, Dollah enggan memberi sebarang bayangan mengenai kesebelasan utama skuad Tok Gajah pada aksi final esok, sebaliknya mahu memberi tumpuan penuh terhadap tugas menyusun perancangan untuk berdepan Kedah tanpa rasa gentar. “Saya tidak peduli kalau ada pihak mengatakan Kedah sebagai pasukan yang lebih baik dalam perlawanan akhir nanti,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Piala FA : Kedah Dan Pahang Bersiap Sedia Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top