PENYANYI dan pemain gitar kumpulan rock popular 1970-an dan 1980-an The Allman Brothers iaitu Gregg Allman meninggal dunia dalam usia 69 tahun di rumahnya di Savannah, Georgia, Amerika Syarikat, hari ini.
Kematian Gregg diumumkan dalam laman web rasminya, namun punca kematiannya tidak didedahkan. Bagaimanapun, pada 1999 Gregg disahkan menghidap Hepatitis C dan pernah menjalani pembedahan pemindahan hati pada 2010.
Gregg mula dikenali selepas menubuhkan The Allman Brothers bersama pemain gitar yang juga abangnya, Duane Allman pada 1969. Pada zaman kegemilangan mereka, The Allman Brothers yang sinonim dengan genre blues rock, southern rock dan jazz rock menghasilkan album-album yang menduduki carta dan disenaraikan antara album rock terbaik sepanjang zaman.
Antara lagu popular mereka ialah Whipping Post, It's Not My Cross to Bear, Midnight Rider dan Jessica. Dalam pada itu, sebaik berita kematian Gregg diumumkan, penyanyi Cher yang dikahwininya pada 1975 hingga 1979 memuat naik status di Twitter dengan kata-kata, “words are impossible” dan berkongsi gambar mereka berdua.
Pada 1971, Duane meninggal dunia akibat kemalangan motosikal dan beberapa tahun kemudian, pemain bass, Berry Oakley turut terbunuh dalam kemalangan motosikal. Gregg yang juga bapa kepada lima anak disenaraikan dalam Rock and Roll Hall of Fame pada 1995.
0 comments:
Post a Comment