My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 17 May 2017

    Khairy Minta Semua Pihak Bersabar



    MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap semua pihak memberi ruang serta masa buat jurulatih baharu skuad bola sepak kebangsaan, Nelo Vingada untuk menyesuaikan diri dengan suasana bola sepak Malaysia. 

    Katanya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin sudah menilai serta mempertimbangkan semua pilihan yang ada sebelum membuat keputusan melantik pengendali dari Portugal itu sebagai jurulatih pasukan negara.

    “Tidak mengapa, kita beri peluang ke­pada beliau (Nelo Vingada) untuk buktikan kemampuan diri bersama skuad negara. Saya pasti FAM sudah lakukan penilaian serta pertimbangan terhadap semua pilihan yang ada.

    “Mungkin juga mereka (FAM) mengambil kira pencapaian beliau (Nelo Vingada) bersama pasukan-pasukan sebelum ini, selain sesuai dengan perancangan yang dicadangkan kepada Presiden FAM (Tunku Ismail Sultan Ibrahim). Jadi, Nelo Vingada perlu buktikan bahawa beliau pilihan terbaik,” katanya kepada pemberita ketika melawat skuad Piala Sudirman negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

    Teka-teki berhubung pengendali baharu skuad Harimau Malaya akhirnya terjawab apabila FAM mengumumkan bekas jurulatih Arab Saudi dan Jordan itu sebagai jurulatih, sekali gus menafikan spekulasi FAM mahu membawa masuk Paulo Jorge Gomes Bento yang pernah membimbing Olympiakos FC.

    Sebagai rekod, Tunku Ismail yang dilantik sebagai presiden baharu badan induk bola sepak negara pada Kongres FAM ke-53, Mac lepas telah melantik bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez sebagai ketua jurulatih baharu.

    Bagaimanapun, konflik mengenai masalah gaji tinggi sebanyak AS$40,000 (RM172,900) sebulan yang dituntut oleh Gomez memaksa FAM mencari alternatif lain sebelum mencapai kata sepakat menawarkan kontrak selama dua tahun kepada Nelo Vingada.

    Dalam perkembangan lain, Khairy turut menyatakan padang Stadium Nasional di Bukit Jalil yang baru dinaik taraf bagi menghadapi Sukan SEA 2017 bakal diuji oleh beberapa pasukan pada Hari Komuniti, Jumaat ini.

    “Mengenai status padang Stadium Bukit Jalil, kita akan adakan ujian Jumaat ini sempena Hari Komuniti. Kita ada menjemput beberapa pasukan komuniti seperti Shah Alam Antlers, Subang FC serta pasukan dari Terengganu, Pemanis FC bagi menguji keadaan padang,” ujarnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Khairy Minta Semua Pihak Bersabar Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top