My Blog List

Translate

  • PANAS

    Sunday, 21 May 2017

    Lang Merah Terbang Tinggi




    Kali terakhir skuad Helang Merah dinobatkan juara trofi tersebut ketika menewaskan Selangor 3-2 dalam edisi 2008 lalu. Kemenangan itu menyaksikan Kedah merangkul piala kedua musim ini selepas memenangi Piala Sumbangsih awal musim ini. 

    Dalam aksi itu, Kedah membuka tirai jaringan menerusi penyerang import, Ken Ilso Larsen seawal minit ke-19 selepas memanfaatkan hantaran pemain sayap lincah, Mohd. Syazwan Zainon. Pemain kelahiran Denmark itu mudah menolak bola masuk dengan menggunakan dadanya menewaskan penjaga gol Pahang, Wan Muhammad Azraie Wan Teh.

    Ketika Pahang bertungkus lumus untuk mencari gol penya­maan, malang menimpa mereka apabila terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain selepas Franciso Insa diarah keluar padang gara-gara melakukan terjahan keras kepada tonggak pertahanan kanan Kedah, Mohd. Rizal Ghazali pada minit ke-31.

    Ternyata ketiadaan Fransico memberikan kelebihan buat skuad kendalian Mohd. Nidzam Adzha Yusoff apabila Syazwan sekali lagi memainkan peranan penting buat mencipta peluang jaringan untuk Baddrol Bakhtiar sekali gus perancang He­lang Merah itu berjaya meledak gol kedua Kedah pada minit ke-45.

    Bagaimanapun, skuad Tok Gajah berjaya mengurangkan defisit gol hasil jaringan pemain pertahanan, Jaewon Heo yang menewaskan Ifwat Akmal Chek Kassim menerusi rembatan yang terkena penyerang Kedah, Sandro Da Silva pada masa kecederaan separuh masa pertama.

    Bersambung pada babak ke­dua perlawanan, Gonzalo Romero hampir menyamakan kedudukan tetapi rembatan itu gagal menuju ke gawang Kedah pada ke-68. Baddrol sekali lagi meletakkan Helang Merah berada dalam keadaan selesa apabila menja­ringkan gol ketiga selepas memanfaatkan hantaran Ilso pada minit ke-72.

    Gol ketiga Kedah itu belum mampu ‘membunuh’ perlawanan apabila Pahang bangkit menguasai perlawanan dan usaha mereka nyata berbaloi apabila Mohamadou Sumareh meledak gol kedua Pahang tujuh minit kemudian untuk merapatkan jurang kedudukan.

    Bagaimanapun, nasib nyata menyebelahi Kedah apabila beberapa percubaan berbahaya Pahang selepas itu gagal me­nerjah gawang dan keputusan 3-2 kekal sehingga wisel terakhir perlawanan ditiupkan. Kemenangan tersebut juga menyaksikan Kedah berjaya melayakkan diri ke pentas Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Lang Merah Terbang Tinggi Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top