My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 19 May 2017

    Medan Ketengah Jentera Masa Depan



    Kenderaan hibrid yang mesra alam kini menjadi agenda utama syarikat pengeluar automotif dunia dalam menghasilkan kenderaan masa depan sebagai langkah mengurangkan penggunaan bahan api fosil. Harga semasa bahan api yang tidak menentu juga membuatkan jurutera automotif perlu memikirkan alternatif terbaik pengangkutan untuk masa depan. 

    Tidak hairan apabila kunjungan penulis ke Pameran Industri Automobil Antarabangsa Shanghai Ke-17 (Auto Shanghai 2017) di Pusat Konvensyen dan Pameran Kebangsaan, Shanghai, China baru-baru ini, mendapati kebanyakan pengeluar kenderaan mempamerkan jentera konsep masing-masing. 

    Pameran yang diadakan setiap dua tahun itu antara terbesar dan terhebat di Asia kerana pengunjung dapat menyaksikan lebih 1,400 kenderaan membabitkan 1,000 syarikat berkaitan automotif dari seluruh dunia. Antaranya ialah 159 kereta tenaga alternatif dan elektrik, secara tidak langsung membuktikan tiada lagi keperluan menggunakan bahan api fosil pada masa akan datang.

    Selain tidak menjejaskan alam sekitar, kebanyakan kereta konsep dipamer tetap mengutamakan gaya, prestasi, kepuasan dan ‘mesra ekonomi’. Pameran itu juga menjadi medan pengeluar kenderaan sukan utiliti (SUV) gergasi China, Haval memperkenalkan model hibrid HB-03 dengan rekaan menakjubkan dan di luar kotak pemikiran manusia.

    Go Auto (Haval Malaysia) yang membawa wartawan tempatan termasuk penulis ke Auto Shanghai 2017 berkesempatan menyaksikan pelancaran SUV H6 serba baru dan bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia tahun ini bersama satu lagi model SUV H9.

    Model SUV H6 tampil dengan rekaan elegan dan matang, sekali gus mengubah persepsi ramai terhadap kereta buatan China yang selama ini dianggap kenderaan tidak berkualiti.

    Tanggapan ini pasti berubah kerana Haval mengutamakan kualiti dan kepuasan pemanduan, tidak hairan mereka muncul sebagai jenama SUV paling berkuasa pada 2017 menerusi hasil kajian dilakukan syarikat perunding antarabangsa Brand Finance yang berpangkalan di London, jauh mengatasi pesaingnya seperti Jeep dan Land Rover.

    Selain jenama Haval, beberapa pengeluar automotif dari negara tembok besar itu turut tidak mahu ketinggalan dalam ‘perlumbaan’ kereta konsep. Antaranya Cherry, BAIC Group, Hanteng Auto dan banyak lagi syarikat tempatan mempamerkan jentera konsep masing-masing walaupun ada antara model konsep itu menyamai rekaan dari Jepun.

    Gergasi automotif Jepun, Mitsubishi mengetengahkan model eX Concept, Ground Tourer (GT) dan Outlander PHEV yang dianggap termaju dalam barisan kenderaan rekaannya. Model eX Concept bersaiz ASX misalnya menggunakan enjin berkembar daripada bateri sepenuhnya bagi memacu semua roda dan mampu bergerak sejauh 400 kilometer.

    Lexus juga tidak ketinggalan apabila memperkenalkan model LC500h dan RX450h yang menjadi tarikan hampir sejuta pengunjung. Infiniti pula mempamerkan QX50 Concept yang bersifat futuristik. Oleh kerana pasaran kenderaan di China terlalu besar, pengeluar automotif Eropah juga berebut peluang sama terutama Audi, Volkswagen, Mercedes-Benz, Jaguar, Land Rover, Skoda dan Smart. 

    Audi antara lain mempamerkan model konsep Audi e-tron Sportback dengan rekaan model fastback janaan elektrik bersama strategi serampang dua mata EV bagi 2020. Pesaingnya, Volkswagen mempertaruhkan model kenderaan utiliti crossover (CUV) I.D Crozz berkuasa elektrik sepenuhnya.

    Mercedes-Benz pula memperkenalkan tiga model konsep iaitu Concept A Sedan, Mercedes-Maybach S680, S350L dan GLA 260 4Matic Sport. Kehadiran pelbagai model baru tidak saja merancakkan industri permotoran dunia, malah memberikan lebih banyak pilihan kepada orang ramai memutuskan model yang menepati kehendak dan keperluan masing-masing.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Medan Ketengah Jentera Masa Depan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top