Kegiatan jahat seorang guru sekolah rendah dan dua anak lelakinya menghisap dadah akhirnya terbongkar selepas polis menyerbu rumah mereka di Sundar di sini kelmarin. Ketika serbuan dilakukan pada pukul 7.40 malam itu, ketiga-tiga suspek sedang khayal menghisap dadah jenis syabu dan mereka hanya mampu tergamam apabila melihat kehadiran anggota polis.
Tiga beranak terbabit kemudian ditahan anggota polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas. Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, ketiga-tiga suspek yang ditangkap terbabit berusia antara 20 hingga 50 tahun.
Menurutnya, serbuan tersebut dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihak polis sebelum ini. “Ketika serbuan tersebut dilakukan, polis tidak menemui sebarang bungkusan dadah yang dipercayai disembunyikan oleh tiga beranak itu.
“Bagaimanapun, hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine atau syabu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
0 comments:
Post a Comment