• PANAS

    Thursday, 18 May 2017

    Kawalan Keselamatan FELDA Sahabat 2 Dipertingkat




    Setakat ini tiada tangkapan yang boleh dikaitkan dengan laporan seorang pekerja ladang mengenai lima lelaki berseluar celoreng dan bersenjata api di ditemui berhampiran sebuah sungai di ladang sawit, FELDA Sahabat 2, Cenderawasih dekat sini baru-baru ini.

    Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata belum ada bukti diperoleh mengenai perkara itu. Susulan laporan polis yang dibuat pekerja ladang berkenaan, kawalan keselamatan di Felda Sahabat 2, Cenderawasih dekat sini dipertingkatkan.

    Tinjauan media mendapati, kira-kira tujuh kilometer sebelum ke lokasi berkenaan dikawal ketat anggota keselamatan dengan orang awam serta pihak tidak berkaitan dilarang masuk.

    Sementara itu, tinjauan di Anjung Teduh FELDA Sahabat 2 mendapati keadaan sekeliling tenang dan penduduk menjalankan aktiviti harian seperti biasa kerana yakin dengan kawalan pihak keselamatan. Di bandar Lahad Datu, kira-kira 110 kilometer dari FELDA Sahabat 2, orang ramai menjalankan urusan masing-masing manakala premis perniagaan beroperasi seperti biasa dengan pihak keselamatan turut membuat rondaan.

    Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu, Datuk Yusof Apdal, mahu penduduk di daerah ini tidak cepat melatah apabila menerima cerita tidak betul yang sengaja ditokok-tambah dan dikaitkan dengan laporan pekerja ladang itu.

    "Kita mengalami satu tempoh tragedi berdarah pada tahun 2013 dan ketika ini kita berada dalam situasi yang diberi jaminan keselamatan sama ada di darat mahupun laut.

    "Kita perlu yakin dan percaya pada pihak keselamatan yang ditugaskan di daerah ini," katanya. Yusof berkata, kerajaan sentiasa berusaha memastikan kawalan keselamatan di daerah itu dipertingkatkan dalam setiap aspek bagi mengelak insiden pencerobohan sebelum ini oleh anasir luar daripada berulang.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kawalan Keselamatan FELDA Sahabat 2 Dipertingkat Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top