My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 17 May 2017

    Duterte Setuju Turki, Mongolia Sertai ASEAN



    Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berkata semalam bahawa beliau akan meminta supaya Turki dan Mongolia dibenarkan menganggotai Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) sekali gus menolak isu tentang kedudukan geografi negara berkenaan. 

    Duterte berkata, pemimpin Turki dan Mongolia memberitahunya tentang niat mereka untuk menyertai ASEAN semasa beliau menghadiri Forum Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa di Beijing, minggu lalu.

    Filipina merupakan pengerusi ASEAN pada tahun ini secara penggiliran. Duterte mengadakan pertemuan berasingan dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Mongolia, Jargaltulga Erdenebat dalam acara sampingan semasa menghadiri sidang kemuncak itu. “Mereka mahu menyertai ASEAN.

    Mereka juga mahu saya menaja kemasukan mereka ke dalam blok ini. Saya berkata, ya, mengapa tidak,” Kata Duterte kepada wartawan di Filipina. ASEAN dianggotai oleh 10 buah negara terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

    Turki yang bersempadan dengan rantau Asia Barat merupakan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara. Ankara juga berdepan masalah untuk menyertai Kesatuan Eropah sejak sekian lama. Mongolia pula merupakan sebuah negara dikelilingi daratan dan terletak di antara Rusia dan China. 

    Kedudukan geografi merupakan kriteria pertama untuk menganggotai ASEAN di samping penerimaan oleh semua anggota blok ber­kenaan. Duterte berkata, pemimpin Myanmar, Aung Sang Suu Kyi yang juga menyertai forum tersebut di China telah bertanya sama ada beliau mempertimbangkan kedudukan geografi dalam memutuskan untuk menaja Turki dan Mongolia sebagai anggota ASEAN.

    Duterte bagaimanapun bertegas bahawa kedua-dua negara itu merupakan sebahagian daripada rantau Asia.

    “Mereka (Turki dan Mongolia) adalah negara Asia. Turki dilihat berbelah bahagi sama ada mahu menjadi jambatan kepada Eropah dan Asia atau menjadi anggota Asia. Kadang kala mereka menyatakan mereka sebahagian daripada Asia dan kadang kala mereka berkata, mereka ialah jambatan Asia ke Eropah,” kata Duterte.

    Setakat ini, tiada ulasan daripada Sekretariat ASEAN yang beribu pejabat di Indonesia berhubung perkara tersebut. Beberapa negara serantau seperti Timor Timur dan Papua New Guinea te­lah memohon keanggotaan ASEAN sejak beberapa tahun lalu tetapi hanya diberikan status sebagai pemerhati.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Duterte Setuju Turki, Mongolia Sertai ASEAN Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top