My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 18 May 2017

    Inilah Kisah Antara Tapak Kasut, Kon Dan Penampar



    Kadang kala, jika kerap kali diasak dengan perkara yang tidak sepatutnya, seseorang itu mungkin akan hilang kesabarannya. Akibat daripada kehilangan sabar inilah banyak perkara yang tidak sepatutnya berlaku, akan berlaku tanpa diduga. Untuk 6 bulan terakhir ini, 3 insiden berlaku yang telah menjadi tular di laman-laman sosial serta dikongsi oleh ramai pihak.

    Sekitar awal Disember lalu, hangat diperkatakan apabila seorang aktivis politik bergelar Datuk telah dipukul dengan tapak kasut oleh seorang aktivis politik. Semuanya bermula apabila Datuk berkenaan dilihat cukup kerap menggelar mereka yang tidak sehaluan dengannya dengan gelaran "anjing".

    Akibatnya, dalam satu pertemuan di PWTC, lelaki berkenaan telah menampar muka Datuk berkenaan dengan tapak kasut dan insiden ini masih diperkatakan oleh netizen sehingga kini. Apa yang menariknya, Datuk berkenaan seolah-olah tidak pernah serik dan sehingga kini masih menggelarkan lawannya dengan panggilan anjing, GRO dan sebagainya.

    Bulan lalu pula, kesabaran jemaah sebuah masjid di Austin Hill, Gelang Patah, Johor diuji apabila sepasang suami isteri berbangsa Cina bertindak biadab membunyikan honnya di hadapan masjid hanya kerana berlakunya kesesakan lalu lintas di hadapan masjid berkenaan. Akibatnya, lelaki berkenaan dipukul dengan kon selain cermin keretanya pecah akibat kemarahan yang gagal dikawal.

    Kes berkenaan kini dianggap selesai apabila pasangan suami ister berkenaan telah mengadakan perjumpaan dengan pihak kariah masjid Austin Hill dan telah membuat permohonan maaf secara terbuka.

    Lain pula halnya semasa berlangsungnya majlis TN50 bersama-sama penggiat seni tanahair. Akibat kegagalan penerbit filem Metrowealth International Group, David Teo menahan sabarnya, dia telah bertindak agak biadab terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Walaupun cuba ditenangkan oleh moderator majlis, Datuk Rosyam Nor, namun David tetap bertindak seperti enggan akur kepada permintaan Rosyam.

    Akibatnya, seorang artis veteran tanahair, Sulaiman Yassin atau lebih dikenali sebagai Mat Over, bangkit dan menyerbu kearah David sebelum menampar mukanya. Insiden ini telah berlangsung secara langsung di mana akhirnya kedua-dua penggiat seni ini berdamai pada penghujung program berkenaan.

    Hanya dalam tempoh 6 bulan, 3 insiden menjadi tular di laman sosial akibat kegagalan seseorang itu menahan amukan kemarahan. Cuba tanyakan kepada diri sendiri, adakah untung kita melakukan provokasi melampau sehingga membangkitkan kemarahan pihak lain?

    Mungkin ketiga-tiga tindakan ini tidak manis dipandang oleh masyarakat. Namun, apabila kesabaran sentiasa diuji, bukan satu perkara yang pelik sekiranya ada lagi insiden seumpama ini bakal berlaku. Mahukah kita saksikan kejadian seumpama ini berulang kembali?
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Inilah Kisah Antara Tapak Kasut, Kon Dan Penampar Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top