My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 8 May 2017

    Jana Ekonomi Masa Depan



    Projek Bandar Malaysia yang akan dibangunkan di bawah model kerjasama awam- swasta dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM150 bilion mempunyai potensi untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi masa depan. 

    Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd, pemaju induk projek itu, Datuk Azmar Talib berkata, akan wujud banyak peluang perniagaan dan pelaburan termasuk sektor komersial, perkhidmatan kreatif, industri pelancongan dan hospitaliti seperti mesyuarat, insentif, persidangan, pameran serta taman tema.

    “Kami menjangka Bandar Malaysia akan menjana peluang pekerjaan mahir. Contohnya, satu daripada komponen pengaktifan awal untuk Bandar Malaysia ialah Bandaraya Internet Kuala Lumpur (KLIC) yang direka bentuk sebagai hab utama untuk Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ),” katanya.

    DFTZ yang pertama seumpamanya di dunia itu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serta Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba Jack Ma.

    Ia mempunyai dua aspek penting iaitu hab logistik serantau Alibaba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang dan KLIC yang akan menjadi model Lembah Silicon di Asia Tenggara yang akan dibangunkan di tapak seluas 4.05 hektar di Bandar Malaysia.

    DFTZ seperti dilaporkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dijangka menggandakan kadar pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia, meningkatkan keseluruhan eksport barangan sebanyak AS$25 bilion dan mewujudkan 60,000 pekerjaan menjelang 2025.

    Bandar Malaysia terletak di tapak bekas lapangan terbang lama Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL) di Sungai Besi, hanya kira-kira tujuh kilometer dari pusat bandar raya Kuala Lumpur. Azmar berkata, pihaknya kini memberi tumpuan untuk menyelesaikan pemindahan PUKL ke lapan tapak berbeza di negara ini menjelang akhir tahun ini.

    “Selain itu, kami sudah memperoleh kelulusan untuk kebenaran merancang daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kerja-kerja Transit Aliran Massa (MRT) laluan dua dari Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya kini dijalankan di tapak berkenaan.

    “Pembangunan Bandar Malaysia akan merubah wajah dan persekitaran kawasan Sungai Besi dan Greater Kuala Lumpur,” katanya.

    Beliau berkata, Bandar Malaysia akan dibangunkan sebagai pembangunan berorientasikan transit, berasaskan penggunaan maksimum pengangkutan awam dengan kerajaan menetapkannya sebagai terminal untuk projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

    Menurutnya, Bandar Malaysia akan menjadi hab pengangkutan dengan sambungan kepada laluan MRT, Komuter KTM, kereta api ekspres dan 12 lebuh raya lain. “Dengan ini, projek itu akan menjadi nukleus masa depan KL.

    “Kawasan di sekitar pembangunan ini akan turut mendapat manfaat daripada pemodenan infrastruktur yang dibawa oleh Bandar Malaysia,” katanya dengan menambah matlamat utama Bandar Malaysia untuk menjadi satu daripada pemangkin utama pembangunan ekonomi Greater Kuala Lumpur.

    Katanya, Bandar Malaysia diharap akan menjadi bandar raya dalam bandar raya bertaraf dunia yang menawarkan penyambungan lancar, kelompok penggunaan bercampur berorientasikan transit bersepadu pertama, pelbagai jenis perumahan serta hab perniagaan antarabangsa dan industri kreatif.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Jana Ekonomi Masa Depan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top