Band yang bermain muzik berat, bingit dengan anggotanya berambut panjang kebiasaannya akan dilabel sebagai pembawa budaya negatif, mengambil dadah dan boleh memesongkan akidah. Inilah yang dialami band thrash metal popular dunia, Megadeth sebelum mengadakan konsert sulung mereka di Stadium Negara, Kuala Lumpur, malam kelmarin.
Pada 2001, konsert Megadeth yang sepatutnya diadakan di KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dibatalkan atas sebab yang sama. Akhirnya, selepas menghasilkan 15 album, Megadeth yang dianggotai Dave Mustaine (penyanyi, gitar), David Ellefson (bass), Kiko Loureiro (gitar) dan Dirk Verbueren (dram) ‘berjaya’ mengadakan konsert di sini.
Itu pun masih ada ‘cubaan’ pihak tertentu untuk menggagalkan konsert berkenaan dengan alasan yang sama. Hampir 8,000 penonton yang hadir berpuas hati dan tersenyum puas selepas melihat kehebatan empat pemuzik itu beraksi dengan 18 lagu mereka.
Konsert yang berlangsung hampir dua jam itu juga berjalan lancar dalam keadaan aman dan selesa (penonton dilarang membawa rokok dan pemetik api). Penulis percaya tidak wujud sebarang anasir negatif sepanjang konsert itu berlangsung.
Malah, ramai yang terpegun melihat Kiko dan Mustaine selamba memainkan not, solo dan riff gitar yang selama ini hanya dihayati menerusi kaset, CD, VCD, DVD dan YouTube. Kali ini semuanya berlaku di depan mata!
Memulakan persembahan dengan lagu Hangar 18, Wake Up Dead dan In My Darkest Hour sudah cukup membuatkan penonton teruja. Ini kerana tiga lagu itu yang dipetik daripada album terawal iaitu Peace Sells...But Who’s Buying, So Far, So Good...So What! dan Rust in Peace adalah antara lagu paling dinanti-nantikan.
Megadeth yang ditubuhkan di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 1983 bukanlah band seperti yang dimaksudkan pihak berkenaan. Persembahan mereka tidak terkinja-kinja, tetapi tetap ‘cool’ dengan ‘headbanging’ secara sederhana (mungkin atas faktor usia). Ini termasuk kehebatan mereka mengendalikan alat muzik masing-masing dengan ‘sound’ mengagumkan!
Mustaine dalam temu bual eksklusif bersama Harian Metro beberapa jam sebelum konsert bermula berkata, sejak ditubuhkan Megadeth tidak pernah membawa sebarang pengaruh negatif dalam setiap persembahan dan lagu mereka.
“Kami hanya mahu menghiburkan penonton dan tidak lebih dari itu. Lagu kami juga kebanyakannya mengenai perkara positif seperti kemanusiaan, kesan buruk peperangan dan sebagainya. Kami juga banyak terbabit dalam kerja amal termasuk membantu pesakit kanser dalam kalangan kanak-kanak.
“Pendapat mengenai Megadeth sebagai ejen perosak masyarakat adalah sesuatu yang mengarut,” katanya. Menurut Mustaine, mereka teruja apabila pertama kali dapat mengadakan konsert di sini. Saya difahamkan peminat di sini sudah terlalu lama menanti kami. Jangan bimbang, malam ini (kelmarin) kami sudah ada di sini.
“Beberapa hari sebelum konsert, saya seronok melihat peminat di sini mula memperkatakan mengenai kehadiran kami di laman sosial. Mereka cukup seronok dan saya turut membalas pertanyaan mereka di Twitter,” katanya.
Apa yang menarik mengenai persembahan Megadeth ialah ia tampak ringkas, tetapi padat. Mustaine sendiri dalam usia mencecah 55 tahun masih hebat di atas pentas. Dia yang bermula sebagai pemain gitar utama Metallica kira-kira 30 tahun lalu bukan saja hebat sebagai penyanyi dan menghasilkan riff, tetapi turut memukau dengan solo gitar yang hebat.
Apa yang menarik, Mustaine melakukan ketiga- tiga perkara itu serentak. Ini kerana tidak semua pemain gitar mampu menyanyi, bermain gitar dan menghasilkan solo dalam masa yang sama. Senarai lagu pada malam itu juga cukup memuaskan hati penonton. Hampir semua lagu yang mereka mahu ditunaikan Megadeth di depan mata.
Antaranya Threat is Real, Conquer or Die, Living in State, Sweating Bullets, Trust, She Wolf, Poisonous Shadows, Fatal Illusion, A Tout Le Monde, Tornado of Souls, Post American World, Dystopia, Symphony of Destruction, Peace Sells dan Holy Wars.
Sementara itu, wakil penganjur dari IME Malaysia, Goh Yoke Leng berkata, mereka berpuas hari dengan sambutan terhadap konsert itu. “Kami tahu Megadeth memiliki kelompok peminat yang ramai di sini. Kehadirannya mereka memang dinanti-nantikan sejak sekian lama, malah sejak akhir tahun lalu ia mula menjadi ‘viral’ dalam kalangan peminat Megadeth di sini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment