My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 8 May 2017

    Skuad Hoki Negara Perlu Bangkit



    SKUAD hoki negara nampaknya perlu bekerja keras bagi mengatasi kelemahan yang dipamerkan sepanjang kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2017 yang berakhir di Ipoh, Perak kelmarin. Ia perkara wajib kerana skuad kendalian Stephen van Huizen itu ada misi besar untuk dilaksanakan selepas ini. 

    Mereka akan memperjuangkan maruah negara pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) 2017 yang akan berlangsung di London pada 15 hingga 25 Jun depan. Kejohanan itu sa­ngat penting kerana ia merupakan medan buat skuad negara melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 yang bakal diadakan di Bhubaneswar, India penghujung tahun depan.

    Ini bermakna, skuad negara tidak boleh beraksi seperti mana yang dipamerkan dalam PSAS 2017 pada WHL nanti kerana ia boleh memusnahkan impian untuk la­yak ke Piala Dunia.

    Skuad negara yang menghuni ranking ke-14 dunia dan dikenali sebagai Malaysian Tigers, menamatkan kempen PSAS 2017 di tempat kelima selepas menewaskan Jepun 3-1 pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam kelmarin. Edisi kali ini dimenangi Great Britain yang menewaskan Australia 4-3 pada perlawanan akhir.

    Sebagai rekod, skuad negara memulakan kejohanan di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah itu dengan langkah kiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Jepun, pasukan yang menghuni ranking ke-16 dunia. Malaysian Tigers terus ditimpa malang apabila diaibkan 1-6 oleh pasukan No. 2 dunia yang juga juara sembilan kali PSAS, Australia pada perlawanan kedua.

    Segalanya seakan-akan tidak menjadi buat pasukan bim­bingan van Huizen itu yang tewas tipis dalam dua perlawanan seterusnya, 0-1 kepada Great Bri­tain serta dikalahkan New Zealand 1-0 pada 2 dan 3 Mei lalu.

    Biarpun berjaya mempamerkan aksi lebih bertenaga berbanding dua perlawanan awal, namun ia masih gagal membantu skuad negara yang terpaksa bermain pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam.

    Antara faktor utama yang menjejaskan hasrat skuad negara meraih kemenangan pada kejohanan kali ini adalah kegagalan menyempurnakan pukulan sudut penalti selain kelonggaran pada jentera serangan dan pertahanan. Mereka terlalu kerap memberikan pukulan sudut penalti kepada pasukan lawan dan kelemahan tersebut harus diatasi segera.

    Jika ia berlarutan, ia boleh mengundang padah pada saingan Separuh Akhir WHL nanti. Legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi menegaskan, barisan pemain negara mempunyai tempoh lima minggu untuk memperbaiki segala kelemahan dan mempertingkatkan kekuatan mereka sebelum bertolak ke London.

    “Barisan pertahanan perlu lebih kental dan mereka tidak boleh terlalu mudah memberikan pukulan sudut penalti kepada pihak lawan. Kita juga perlu bijak memanfaatkan segala peluang yang ada dan bukan mempersia-siakannya.

    “Sebagai contoh, kebiasaannya kita memperoleh tujuh pukulan sudut penalti dalam mana-mana perlawanan yang diharungi pada PSAS kali ini tetapi kita gagal menyudahkannya dengan baik. Jika kita berjaya memanfaatkan 30 peratus daripada pukulan-pukulan sudut penalti yang diperoleh, kita mempunyai peluang cerah untuk menang,” kata Mirnawan semalam.

    Begitupun, kelemahan tersebut sedikit sebanyak berjaya diperbaiki pada dua perlawanan terakhir dengan skuad negara lebih banyak mempelbagai strategi ketika mengambil pukulan sudut penalti. 

    Antara pemain yang ber­upaya mengambil pukulan sudut pe­nalti ialah Muhammad Razie Abd. Rahim, Faizal Saari, Muhammad Shahril Saabah, Muhammad Najmi Farizal Jazlan dan Syed Mohd. Syafiq Syed Cholan.

    Pada masa sama, Mirnawan, 45, berharap barisan serangan dapat memperkemaskan gaya penyudah mereka agar tidak nampak kaku apabila berada di hadapan pintu gol pasukan lawan. Sebelum PSAS menutup tirainya kelmarin, skuad negara berjaya juga meraih satu kemenangan apabila menewaskan pasukan No. 6 dunia, India 1-0 pada aksi terakhir peringkat liga satu pusingan itu.

    Kecemerlangan itu diteruskan apabila Malaysian Tigers berjaya menumpaskan Jepun 3-1 pada penentuan tempat kelima dan keenam kejohanan tersebut. “Para pemain sebenarnya te­lah mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki selepas ini.

    “Bagaimanapun, saya tetap gembira kerana kami mendapat banyak manfaat daripada per­lawanan-perlawanan berkualiti sepanjang kejohanan ini. Tempoh lima minggu selepas ini akan digunakan sebaik mungkin. Kami tidak boleh me­ngulangi skrip sama seperti yang berlaku pada PSAS kali ini,” jelas van Huizen.

    Ketua pasukan, Mohammad Sukri Abdul Mutalib percaya dia dan rakan-rakan sepasukannya mampu memberikan tentangan sengit kepada mana-mana pasukan untuk meraih tiga mata di London jika beraksi pada tahap sebenar.

    “Saya tidak mahu memandang negatif terhadap keseluruhan prestasi kami pada kempen PSAS ini. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan tiada kesilapan dilakukan di London nanti,” katanya. Pada saingan di London, skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan No. 1 dunia, Argentina, England, Korea Selatan dan China.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Skuad Hoki Negara Perlu Bangkit Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top