Mungkin ianya berita menggembirakan buat penduduk di Jakarta yang beragama Islam. Perjuangan mereka selama beberapa bulan kebelakangan ini akhirnya menemui pembalasan apabila bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok, dihukum penjara selama 2 tahun akibat kesalahan menghina agama Islam dengan sengaja dalam kempen pilihan rayanya.
Walaupun sepanjang perbicaraannya, Ahok sudah membuat dua kali permohonan maaf, namun ianya bukan halangan buat mahkamah menjatuhkan hukuman keatas ahli politik yang selama ini menjadi sekutu rapat buat Presiden Indonesia, Joko Widodo.
Sebenarnya, agak menarik untuk diperkatakan untuk mengaitkan detik hitam Ahok ini dengan ahli politik pembangkang di Malaysia. Umum sedia maklum bahawa Ahok merupakan Gabenor Jakarta pertama dari kaum Cina yang beragama Kristian. Sebelum ini, hampir kesemua Gabenor Jakarta adalah dari umat Islam sejak Indonesia mengecap kemerdekaan lagi.
Namun, disebabkan keinginan untuk melihat perubahan, harga yang terpaksa dibayar oleh penduduk di Jakarta cukup tinggi. Hari ini, perubahan yang mereka idamkan hasil daripada janji Ahok nyata tidak pernah kesampaian. Sebaliknya, Ahok menggunakan kalimah-kalimah suci Al Quran untuk melariskan kempennya pada PEMILU yang lalu.
Di Malaysia pula, sudah terlalu kerap agama Islam di hina dan dicerca oleh mereka yang tidak bertanggungjawab terutamanya para pemimpin pembangkang. Lihat sahaja apa yang dilakukan oleh Nga Kor Meng, Teresa Kok, Lim Guan Eng, S Raveentharan dan ramai lagi yang acapkali memuat naik status yang dianggap menghina Islam.
Itu belum lagi penghinaan yang dibuat oleh para penyokong mereka seperti mana yang berlaku terhadap penghinaan terbaru "Allah is Setan" oleh seorang wanita yang berang apabila di kepung oleh para jemaah Solat Jumaat di Austin Hill, Johor. Sehingga bilakah perlakuan biadab ini harus dilepaskan? Adakah cukup dengan permohonan maaf, segalanya akan selesai?
Jika ada yang memainkan sentimen perkauman, mungkin ianya dapat di maafkan. Namun apabila mereka mula menghina kesucian Islam, wajarkan kita hanya berpeluk tubuh dan menganggukkan kepala apabila mereka membuat permohonan maaf? Kenapa tidak Malaysia memperketatkan undang-undang mendakwa perlaku yang menghina Islam tanpa mengira apa jua pangkatnya?
Dalam hal ini, mungkin cara perundangan Indonesia wajar dijadikan contoh dalam menjaga kesucian agama Islam dari terus dicemari dengan sifat biadab mereka. Mereka harus ingat, Islam adalah agama rasmi negara dengan Yang DiPertuan Agong adalah penaung bagi agama Islam. Menghina Islam samalah ertinya memperlekehkan Yang DiPertuan Agong, Perlembagaan Negara dan Nabi Muhammad itu sendiri!
0 comments:
Post a Comment