Dia bukanlah seorang pemimpin besar di kalangan parti-parti politik tanahair. Dia hanyalah seorang peniaga, rakyat biasa dan seorang pengundi berdaftar. Baginya, sudah menjadi satu tanggungjawab untuk keluar mengundi pada setiap kali pilihan raya umum di adakan. Ini kerana, menurutnya, inilah masa untuknya menunaikan haknya sebagai rakyat Malaysia.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai En Lim. Pada hari-hari biasa, adalah amat jarang sekali untuknya memperkatakan tentang hal ehwal politik. Namun, ketika satu kesempatan penulis membeli barangan di kedainya, sempat penulis bertanyakan tentang keadaan kawasannya yang kini dikuasai oleh DAP.
Secara tiba-tiba dia berhenti tersenyum dan terus bertukar riak mukanya menjadi agak sedikit berang. Katanya, dia agak cemburu melihat Bentong yang pada pendapatnya jauh lebih maju berbanding Raub. Dahulu, Raub dan Bentong hampir sama taranya dari aspek kemajuan. Malah, Raub kerap kali menjadi tempat persinggahan ramai pengunjung yang dalam perjalanan ke arah Kota Bharu jika mengikut jalan lama.
Namun hari ini, Bentong yang dikuasai oleh Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai telah bertukar menjadi pusat persinggahan wajib samada mereka yang menggunakan jalan lama mahupun lebuh raya Pantai Timur. Katanya lagi, ramai rakannya di Bentong menzahirkan kegembiraan apabila pekan kecil ini sedikit demi sedikit sudah berubah menjadi salah satu bandar utama di Pahang.
En Lim mengakui, pada Pilihan Raya Umum ke 13 lalu, dia memang mengundi DAP kerana yakin pada janji yang ditaburkan oleh Ariff Sabri Abdul Aziz. Pada kempen calon DAP berkenaan, dia berkata akan bekerja lebih kuat termasuk menjaga sepenuhnya kebajikan rakyat di Parlimen Raub. Malah, dia juga menjanjikan lebih banyak pembangunan akan di bawa ke Raub.
Berpegang pada janji dan kata-kata manis inilah, En Lim bersama-sama rakan taulan dan keluarganya sepakat memberi kepercayaan kepada Ariff Sabri dari DAP untuk menerajui Raub dan menolak sama sekali calon MCA pada ketika itu. Baginya, tiada bezanya memberi undi kepada DAP mahupun MCA kerana kedua-dua parti ini pasti akan membela nasib rakyat di Raub terutamanya kaum Cina.
Namun, setelah berjaya memenangi Parlimen Raub, seseorang itu cukup bernasib baik sekiranya berjumpa dengan Ahli Parlimen berkenaan. Jika ada sekalipun, dia hanya akan datang ke Raub tidak sampai sejam untuk melawat kawasan dan akan menghilangkan diri samada berbulan mahupun bertahun-tahun lamanya.
Untuk berurusan dengan beliau, penduduk di Parlimen ini hanya mampu berurusan dengan wakilnya sahaja. Malah, kebanyakan masalah penduduk di Raub banyak diadukan kepada Biro Aduan Barisan Nasional dan MCA yang dilihat jauh lebih membantu berbanding Ahli Parlimen yang mereka beri kepercayaan pada PRU ke 13 yang lalu.
Untuk melihat pembangunan di bawa oleh DAP, mungkin hanya mimpi. Ujar En Lim lagi, tidak hairanlah, ramai dikalangan penduduk di Parlimen Raub cukup cemburu dengan apa yang dinikmati oleh penduduk di Bentong. Walhal, mereka sebenarnya hanya berjiran.
Justeru itu, untuk memberi kepercayaan kepada mana-mana wakil DAP dan Pakatan Harapan yang lain untuk bertanding di Parlimen Raub, tidak akan mungkin diberikan lagi oleh En Lim dan ramai rakan-rakannya yang lain. Katanya, memberi undi kepada mana-mana calon Pakatan Harapan hari ini samalah ertinya memberi undi kepada kaum Bunian, Jin ataupun apa jua makhluk halus yang lain.
Hari ini kita boleh nampak mereka, namun setelah "kenyang", mereka akan terus menghilangkan diri dan membiarkan rakyat yang diwakilinya hidup dalam keadaan yang tidak menentu. Setidak-tidaknya kata En Lim, Ahli Parlimen Bentong hari ini sudah dilantik sebagai menteri. Jadi, tidak hairanlah Bentong jauh lebih pesat membangun berbanding Raub.
0 comments:
Post a Comment