Melihat kepada kejadian buli dalam kalangan murid dan pelajar sekolah, tentu ramai ibu bapa yang tidak senang duduk, malah bimbang dengan keselamatan anak masing-masing.
Anak dihantar ke sekolah diiringi harapan menggunung ibu bapa yang mahu melihat zuriat mereka menjadi insan berjaya di dunia dan akhirat, bukannya dihimpit masalah disiplin atau diganggu rakan hingga menjejaskan tumpuan menimba ilmu. Antara kes buli yang mendapat perhatian seluruh negara apabila enam tertuduh termasuk empat remaja bawah umur.
Mereka terbabit kes buli dua pelajar di sebuah sekolah, sehingga rakaman perlakuan mereka tersebar luas di laman sosial Januari lalu dan akhirnya didakwa di Mahkamah Majistret, Februari lalu. Mereka dituduh bersama-sama menyuruh dua pelajar berusia 15 tahun bersujud sambil menjilat jalan raya untuk mengaibkan mangsa.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di belakang sebuah sekolah menengah di Sea Park, Kelana Jaya, Selangor pada jam 1 tengah hari, 29 Januari lalu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Manakala pada November tahun lalu, tersebar video berdurasi lebih enam minit memaparkan beberapa murid membuli mangsa beruniform pengawas perpustakaan sekolah berwarna coklat, yang disepak dan ditendang di badan oleh tujuh murid berpakaian sukan.
Insiden di surau sekolah itu turut memaparkan mangsa berusia 12 tahun yang kesakitan menangis dan turut disembur dipercayai air di muka serta dipaksa mencium stoking.
Penghujung tahun lalu juga masyarakat dikejutkan oleh tindakan sekumpulan pelajar perempuan tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Lundu, Sarawak, yang membuli rakan mereka selepas rakaman video aksi ganas itu tersebar di laman sosial. Perunding motivasi keluarga, Zaid Mohamad berkata, kaedah keibubapaan permisif boleh menyebabkan anak menjadi agresif.
Ada ibu bapa yang terlalu memanjakan anak sehingga tidak menghukum walaupun mereka melakukan kesalahan. “Mereka menyangka dengan membiarkan anak bebas melakukan apa saja, ia boleh membantu perkembangan anak tetapi ini tidak begitu tepat kerana anak juga perlu diajar sikap bertanggungjawab. Jika melakukan kesilapan mereka perlu dihukum dengan sewajarnya,” katanya.
Katanya, didikan yang bagus adalah ibu bapa perlu bertindak tegas tetapi adil. Tegas bermaksud ibu bapa tidak terlalu mengalah kepada anak dan membiarkan mereka bermaharajalela tanpa kawalan dan kesan akibat kelakuan mereka.
“Manakala adil pula bermaksud anak dibawa berbincang mengenai peraturan di rumah, jelas akan bentuk hukuman dan ganjaran.
“Anak juga dibenarkan membuat penjelasan dan membela diri sebelum menerima hukuman. Jika perlu dihukum, ibu bapa tidak melakukannya untuk melepaskan geram.
“Sebaliknya ia dilakukan penuh berhemah, rasional dan mengambil kira bentuk kesalahan serta umur anak,” katanya.
Zaid yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Smart Parents Network Sdn Bhd berkata, beberapa punca yang menjurus kepada masalah buli dalam kalangan kanak-kanak apabila mereka mencontohi sikap ibu bapa. Jika anak dibuli oleh ibu bapa, didera atau dilayan dengan kasar serta tanpa hormat, mereka akan mempelajari perkara itu biasa dan akan melakukannnya kepada orang lain pula.
Selain itu, masalah buli berlaku apabila kanak-kanak itu ingin menunjukkan kuasa. “Jika di rumah anak itu mengalami trauma akibat didera atau melihat banyak pertelingkahan dan berasa tiada kuasa melawan, mungkin di sekolah mereka akan menunjukkan kuasa dengan membuli orang lain.
“Masalah buli juga boleh berpunca apabila kanak-kanak itu tidak mendapat perhatian di rumah.
“Dengan membuli orang lain, mereka melepaskan emosi negatif akibat dipinggirkan di rumah kerana tidak mendapat kasih sayang dan perhatian sewajarnya,” katanya yang juga penulis buku keibubapaan.
Begitu juga dengan anak yang terlalu dimanjakan dan mudah mendapatkan apa saja barangan material dan kewangan tanpa batasan munasabah. Mereka berasa sangat berkuasa dan akhirnya membuli orang lain kerana menganggap tidak ada orang yang boleh menghalang mereka.
Pada masa sama, Zaid berkata, masalah kanak-kanak menjadi pembuli juga kerana mereka kekurangan perasaan empati dan simpati disebabkan tidak pernah dilatih sebegitu di rumah.
Katanya, antara kesilapan yang dilakukan ibu bapa dalam mendidik hingga menyebabkan anak menjadi degil dan agresif apabila terlalu mengikut emosi dalam menghukum anak dan tidak memberi perhatian sepenuhnya akibat sibuk dengan tugas atau lebih memberi tumpuan kepada gajet.
“Anak juga boleh menjadi sukar ditegur jika ibu bapa mempunyai masalah hubungan suami isteri, tidak melatih anak bekerjasama sesama adik-beradik, tidak pernah mengajar anak membantu orang lain untuk menimbulkan empati dan simpati selain sikap terlalu memenangkan anak,” katanya.
Menurutnya, antara tanda yang boleh menjadi petunjuk kepada sikap negatif anak dan tindakan segera yang perlu diambil ibu bapa apabila anak bersikap agresif di rumah, tidak mendengar kata dan permintaan ibu bapa, tidak pandai menjaga dan menghargai barangan permainan mereka, bengis, suka mengamuk apabila ditegur selain sering mendapat aduan masalah disiplin sama ada daripada guru atau orang lain.
Katanya, ibu bapa perlu bertindak segera sekiranya anak mereka sering mengadu dibuli terutama apabila terdapat kesan fizikal.
“Ibu bapa perlu segera menghubungi sekolah dan bertanya rakan baik anak mereka. Jangan sesekali buat endah tak endah dengan aduan anak.
“Mereka perlu rekodkan keterangan anak, ambil gambar kecederaan jika ada dan segera berjumpa pihak sekolah untuk bincang tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurut Zaid, dalam membentuk suasana pembelajaran di sekolah lebih harmoni, ia memerlukan empat pihak untuk berjaya iaitu murid, guru, ibu bapa dan komuniti. Justeru, jalinan terbabit hendaklah sentiasa jitu. Jika satu pihak tidak memainkan peranan, kejayaan akan sukar dicapai.
“Sentiasa pastikan hubungan sentiasa terbuka dan positif serta semua pihak boleh memberi maklum balas kepada pihak yang lain tanpa ada yang bersikap defensif atau terasa hati,” katanya.
0 comments:
Post a Comment