Malaysia terus berada pada landasan untuk mencapai pertumbuhan memberangsangkan bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.0 dan 4.5 peratus pada tahun ini didorong oleh keadaan ekonomi yang semakin meningkat baik.
Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, ia berdasarkan kedudukan harga minyak semasa yang menggalakkan serta sejajar dengan anggaran pakej dasar sedia ada dan usaha kerajaan memastikan pertumbuhan sewajarnya dapat dicapai.
“Saya percaya kita kini berada pada landasan tepat untuk mencapai pertumbuhan KDNK ini. Jika tidak, anda akan melihat lebih banyak langkah diperkenalkan.
“Malah, saya juga melihat langkah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) turut menghasilkan manfaat fiskal yang besar. Setakat ini, ia menghasilkan keputusan diharapkan dan isi rumah juga dapat menyesuaikan diri dengan GST,” katanya pada Sidang Kemuncak Kewangan Bertanggungjawab.
Sidang kemuncak selama dua hari itu menghimpunkan pihak berkepentingan utama daripada sektor kewangan Islam untuk membina hubungan bagi menyokong pertumbuhan pesat dan meningkatkan impak boleh diukur industri.
Terdahulu dalam ucapannya Zeti berkata, infrastruktur kewangan yang memberi tumpuan kepada tempoh jangka panjang dan pertimbangan sosial adalah satu daripada bidang kewangan yang boleh memainkan peranan penting dalam ekonomi baharu muncul dengan permintaan pembiayaan global dianggarkan bernilai AS$57 trilion (RM225.29 trilion) menjelang 2030 atau AS$1 trilion (RM3.95 trilion) setahun.
“Menyedari hakikat kebolehupayaan berkenaan, kini perhatian mula beralih kepada infrastruktur kewangan menjadikannya lebih fokus dan tumpuan dalam bidang berkenaan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun global,” katanya.
Menurutnya, evolusi dalam pasaran sukuk khususnya menjadi saluran paling berkesan untuk merapatkan jurang pembiayaan berkenaan dengan fokus diberikan kepada kewangan infrastruktur di peringkat domestik dan antarabangsa.
Beliau berkata, sejak 2003 dianggarkan AS$115 bilion (RM454.54 bilion) sukuk infrastruktur diterbitkan lebih daripada 10 negara yang menjadi penyumbang utama dalam pembangunan jangka panjang ekonomi.
0 comments:
Post a Comment