Datuk Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemui tertanam di dalam tong dram bersimen dimaklumkan telah bertengkar dengan tertuduh pertama, Dr. R. Kunaseegaran, 53, di Kompleks Mahkamah Shah Alam, Selangor, dua hari sebelum Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara itu dilaporkan hilang pada 4 September 2015.
Saksi pertama pendakwaan iaitu adik Kevin, Datuk Richard Morais memberitahu, informasi berhubung pertengkaran tersebut dimaklumkan oleh polis yang menyiasat kes pembunuhan abang sulungnya itu.
Begitupun, anak bongsu daripada empat beradik tersebut mengakui dia difahamkan pemeriksaan televisyen litar tertutup (CCTV) di Kompleks Mahkamah Shah Alam tidak menemui rakaman pertengkaran yang didakwa berlaku pada 2 September 2015.
“Bagaimanapun, saya memberi kepercayaan penuh kepada penyiasatan Polis Diraja Malaysia (walaupun dimaklumkan tiada bukti CCTV berhubung insiden pertengkaran terbabit ditemui), ” kata Richard ketika menjawab pemeriksaan balas peguam bela, N. Sivanathan yang mewakili Kunaseegaran.
Richard memberi keterangan demikian di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah di Mahkamah Tinggi di sini semalam pada hari pertama perbicaraan kes tujuh lelaki termasuk Kunaseegaran yang didakwa membunuh Kevin.
0 comments:
Post a Comment