My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 7 April 2016

    Sepuluh Calon SUPP Diumum

    BERSEMANGAT: Adenan (lima kanan) bergambar bersama lapan daripada 10 calon SUPP yang diumumkan semalam.

    Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem semalam mengumumkan 10 calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 nanti. 

    Mereka terdiri daripada Senator Datuk Dr Sim Kui Hian yang juga presiden parti di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah, Peter Pau (Padungan), Milton Foo (Pending), Sih Hua Tong (Batu Lintang), Wilfred Yap (Kota Sentosa), Lo Khere Chiang (Batu Kitang), Datuk Francis Harden (Simanggang), Chieng Buong Toon (Bukit Assek), Datuk Sebastian Ting (Piasau) dan Datuk Lee Kim Shin (Senadin).

    “Saya mahu mengumumkan senarai calon terutamanya dari SUPP yang akan bertanding menggunakan simbol dacing (Barisan Nasional).

    “Saya dari semasa ke semasa akan mengumumkan calon-calon lain tetapi semuanya akan dilakukan seminggu sebelum hari penamaan calon,” ujarnya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini.

    Adenan yang juga Pengerusi BN negeri berkata calon bagi kerusi DUN Repok akan beliau umumkan dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Repok, esok (Jumaat).

    “Saya mengumumkan calon mengikut parti. Tempoh hari PRS (Parti Rakyat Sarawak), hari ini (semalam) SUPP tetapi belum lengkap dan sudah tentu selepas ini Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB),” jelasnya.

    Ditanya sama ada baki kerusi SUPP yang tidak diumumkan calonnya semalam akan diletakkan ‘calon langsung,’ Adenan berkata, “Anda (media) boleh membuat apa sahaja kesimpulan sendiri daripada apa yang saya umumkan tadi tetapi tunggu pengumuman rasmi daripada saya.”

    Beliau dalam pada itu percaya kata sepakat antara SUPP dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) mengenai pembahagian baki kerusi yang belum diumumk akan dicapai dalam tempoh seminggu sebelum hari penamaan calon.

    SUPP diperuntukkan 20 kerusi DUN termasuk satu kerusi baharu iaitu Batu Kitang. Manakala 19 lagi kerusi sedia ada ialah Opar, Mambong, Padungan, Pending, Kota Sentosa, Batu Lintang, Batu Kawa, Simanggang, Engkilili, Repok, Meradong, Bukit Assek, Dudong, Bawang Assan, Pelawan, Tanjong Batu, Piasau, Pujut dan Senadin.

    Dalam pada itu, MCA dilaporkan sudah menyiapkan jentera mereka bagi membantu SUPP dalam mengharungi pilihan raya kali ini. Menurut sumber dalaman MCA, kesemua jentera yang sudah disiapkan akan berlepas  ke Sarawak beberapa hari sebelum Hari Penamaan Calon nanti.

    Malah, menurut sumber berkenaan, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalannya, Datuk Seri Wee Ka Siong dijangka turut bakal berada di Sarawak pada hari penamaan calon nanti. Semua ini dilakukan atas semangat kerjasama yang utuh antara parti komponen BN di Malaysia.


    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sepuluh Calon SUPP Diumum Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top