Kerajaan akan membangunkan lebih banyak perumahan berkualiti tinggi berharga RM300,000 dan ke bawah untuk memenuhi kelayakan kebanyakan pembeli di negeri ini, kata Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.
Jelas beliau, ini kerana Sarawak sedang menghadapi masalah kekurangan rumah yang berharga RM300,000 dan ke bawah manakala rumah berharga RM400,000 dan ke atas tidak mendapat sambutan pembeli berikutan kesukaran mendapatkan pinjaman perbankan.
“Sebab itu, kerajaan perlu campur tangan dan akan bekerjasama dengan pemaju perumahan seperti Perbadanan PR1MA Malaysia dan Vista Perdana untuk membina perumahan berkualiti tinggi bagi isi rumah berpendapatan sederhana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan geran MRP kepada Persekutuan Persatuan Komuniti Cina Bahagian Kuching dan Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua No.4 di pejabatnya, Wisma Sultan Tengah di sini, semalam.
Menurut Abang Johari, terdapat lambakan rumah yang berharga RM400,000 dan ke atas di pasaran pada masa kini disebabkan tidak mendapat sambutan pembeli. Katanya ia berikutan pembeli sukar mendapatkan pinjaman perbankan yang ketat pada masa ini.
“Bank tidak lagi memberi pinjaman 90 peratus dan sebelum meluluskan pinjaman, mereka turut menilai keupayaan pembeli untuk membayar balik pinjaman.
“Ini menyebabkan pembeli yang berminat tidak mendapat pinjaman yang diperlukan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment