Selepas 23 tahun, akhirnya tiga anggota asal Guns N’ Roses iaitu Axl Rose (penyanyi), Slash (gitar) dan Duff McKagan (bass) bergabung kembali dengan mengadakan persembahan istimewa di Los Angeles, Amerika Syarikat, Jumaat lalu.
Sejarah itu tercipta di kelab malam Troubadour yang terletak di barat Hollywood, Los Angeles. Kelab berkenaan cukup istimewa kerana di situ Guns N’ Roses mengadakan persembahan pertama mereka pada 6 Jun 1985.
Pengumuman mengenai persembahan itu hanya dibuat sehari sebelum itu di laman web rasmi band rock legenda berkenaan serta di Instagram Slash dan Duff. Penjualan tiket juga terhad berdasarkan kapasiti kelab itu yang hanya boleh memuatkan 400 penonton dan paling menarik, tiket hanya dijual dengan harga AS$10 berdasarkan siapa cepat dia dapat.
Namun, ramai yang membuat andaian ia hanya gurauan ‘April Fool’. Bagaimanapun, pada jam 4 pagi Jumaat lalu, lebih 100 peminat sudah mula beratur di bangunan Gibson Brand yang dulunya kedai muzik terkenal Tower Records bagi mendapatkan tiket.
Pada jam 9 pagi, jumlahnya makin meningkat apabila lebih 400 peminat beratur dan pengurusan Guns N’ Roses hanya membuat pengumuman persembahan itu pada jam 10 pagi dan ia akan diadakan di kelab Troubadour.
Dalam persembahan yang bermula pada tengah malam itu, Axl, 54, Slash, 50, dan Duff, 52, turut disertai pemain keyboard mereka pada 1991, Dizzy Reed serta anggota terkini Guns N’ Roses iaitu Richard Fortus (gitar) dan Frank Ferrer (dram). Turut bersama mereka ialah pemain keyboard, Melissa Reese yang kini menjadi wanita pertama menganggotai Guns N’ Roses.
Bagaimanapun, dua lagi anggota asal Gun N’ Roses iaitu Izzy Stradlin (gitar), Steven Adler (dram) dan pemain dram yang menggantikan Adler pada 1991, Matt Sorum tidak bersama mereka pada malam itu. Difahamkan, Adler sepatutnya turut bersama Guns N’ Roses pada malam itu, tetapi ia tidak berlaku apabila pemain dram terbabit menjalani pembedahan di belakang badan.
Lebih 200 penonton bertuah yang berjaya membeli tiket tidak dibenarkan membawa telefon bimbit dan kamera, namun ia tetap ‘bocor’ apabila gambar dan video persembahan itu mula tersebar di Internet sebaik tamat persembahan.
Antaranya ialah video Guns N’ Roses mempersembahkan single popular pertama mereka iaitu Welcome To The Jungle. Ia termasuk gambar aksi persembahan terutama daripada Axl dan Slash. Turut hadir menyaksikan persembahan itu ialah beberapa selebriti Hollywood antaranya Bradley Cooper, Nicholas Cage, Jim Carrey, Kate Hudson, Lenny Kravitz dan Michelle Rodriguez.
Ini ialah persembahan pertama membabitkan Axl, Slash dan Duff dalam Guns N’ Roses selepas di Buenos Aires, Argentina pada 1993. Konflik bersama Axl membuatkan Slash dan Duff keluar dari Guns N’ Roses pada penghujung 1990-an meninggalkan Axl yang kemudian meneruskan perjuangan kumpulan itu bersama anggota baru.
Beberapa jam selepas membuat pengumuman mengenai persembahan di Troubadour, Guns N’ Roses turut mengumumkan mereka akan mengadakan konsert jelajah yang dinamakan Not In This Lifetime tour di Amerika Utara bermula Jun depan.
Sebanyak 20 lokasi sudah dipilih dan ia bermula di Detroit pada 23 Jun dan berakhir di San Diego pada 22 Ogos depan. Sebelum memulakan konsert jelajah pada musim panas itu, Guns N’ Roses akan mengadakan enam persembahan bulan ini termasuk dua persembahan di Mexico City dan Las Vegas. Pada 16 dan 23 April ini, mereka akan bermain di Coachella Valley Music & Arts Festival di Indio, California.
Senarai lagu Guns N’ Roses di Troubadour, It’s So Easy, Mr. Brownstone, Chinese Democracy, Welcome to the Jungle, Double Talkin’ Jive, Live and Let Die, Rocket Queen, You Could Be Mine, Speak Softly Love, Sweet Child O’ Mine, New Rose, Better, Knockin’ on Heaven’s Door, My Michelle, Nightrain, The Seeker dan Paradise City.
0 comments:
Post a Comment