My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 1 April 2016

    Elak Jumpa Yaman, Timor Leste, India


    Laluan Harimau Malaysia untuk terus menghidupkan peluang merebut tiket beraksi di pusingan akhir Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) cukup berliku apabila aksi peringkat play-off pertama Jun ini tidak semudah disangka. 

    Dengan kedudukan ranking undian perlawanan play-off diketahui Rabu ini, tiga pasukan - Yaman, Timor Leste dan India - antara pasukan yang jika diberi pilihan, pasti mahu dielakkan daripada bertemu pada pusingan itu.

    Daripada 11 pasukan layak beraksi di pusingan play-off secara timbal balik pada 2 dan 7 Jun ini, Malaysia menduduki ranking ke-4 dengan Tajikistan (1), Taiwan (2), Maldives (3), Laos (5), India (6), Yaman (7), Timor Leste (8), Bangladesh (9), Kemboja (10) dan Bhutan (11) menanti pada play-off kedua.

    Pada undian itu nanti, lima pasukan teratas akan diasingkan untuk diundi dengan lima lagi pasukan bagi perlawanan play-off pertama untuk layak beraksi di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019. Lima pasukan yang tewas play-off pertama itu bersama Bhutan masih berpeluang mencari tiga lagi slot dengan mengharungi play-off kedua pada 6 September dan 11 Oktober.

    Bagi pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee, beliau mengakui bukan tugas mudah untuk anak buahnya melepasi pusingan play-off apatah lagi dengan prestasi semasa yang kurang memberangsangkan.

    “Memang agak bahaya kerana Yaman, Timor Leste dan India tidak berada dalam kumpulan sama dengan Malaysia pada undian itu. Tapi kita tidak boleh memandang rendah pasukan lain termasuk Bangladesh dan Kemboja kerana dengan prestasi pasukan kebangsaan ketika ini, ia pasti satu cabaran besar.

    “Semua pasukan mahu layak, jadi kita tidak boleh terlalu yakin. Apatah lagi dengan format permainan timbal balik, setiap pasukan berpeluang untuk layak,” katanya kepada semalam.

    Malaysia terpaksa mengharungi pusingan play-off untuk beraksi di pusingan kelayakan ketiga selepas menamatkan kempen pusingan kedua Kumpulan A di tangga keempat dengan mengumpul empat mata daripada lapan perlawanan.

    Ketika Kim Swee menjadi pengendali sementara pada awal 2014, Harimau Malaysia berjaya mengalahkan Yaman 2-1 pada aksi kelayakan Piala Asia 2015 selain hanya menang tipis 1-0 dengan Timor Leste Oktober tahun lalu pada aksi kelayakan Piala Asia 2019.

    Rekod terakhir pertemuan dengan India ketika skuad kebangsaan dibimbing Datuk K Rajagobal dalam aksi persahabatan pada 2011 menyaksikan keputusan seri 1-1 dan kalah 2-3.

    “Apa yang penting persiapan pasukan. Kita tidak boleh ulangi persiapan singkat ketika menentang Arab Saudi sebelum ini. Saya sudah rancang satu perlawanan persahabatan pada 28 Mei depan sebelum mengharungi perlawanan play-off nanti,” kata Kim Swee.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Elak Jumpa Yaman, Timor Leste, India Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top