My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 7 April 2016

    Bintang RTM : Tuah Aksi Konsisten Rosario


    MELIHAT kepada tahap konsisten yang ada padanya selama sembilan minggu, gelaran juara Bintang RTM (BRTM 2016) yang diraih Rosario Ninih Chamimi Bianis, bukan suatu kejutan. 

    Kehebatan vokal peserta dari Tambunan, Sabah itu ketika mendendangkan lagu nyanyian asal Leona Lewis berjudul Run dan Beribu Sesalan pada malam kemuncak BRTM 2016 yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur Sabtu lalu memang tidak boleh disangkal lagi. 

    Tambah mengujakan, durasi dua jam pertandingan berlangsung turut memperlihatkan persaingan sengit terutama dalam kalangan peserta wanita seperti Eryn dan Ezza berjaya mendominasi pentas akhir tersebut.

    Kemenangan wanita berusia 21 tahun atau lebih mesra sebagai Rosario itu melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 dan pakej percutian ke Korea Selatan. Dua peserta wanita yang memberi saingan sengit iaitu Eryn dan Eeza pula berada di tempat kedua dan ketiga.

    Masing-masing pula pulang dengan hadiah wang tunai sebanyak RM15,000 dan RM10,000 serta pakej percutian ke Bali dan Jakarta. Tiga lagi peserta akhir pertandingan tersebut, Hafiz, Idris dan Adib pula sekadar membawa pulang hadiah sagu hati berupa wang tunai RM1,000 setiap seorang dan pakej percutian tajaan My Centrio Holidays.

    Sebak saat diumumkan sebagai juara, Rosario memanjatkan kesyukuran dan mengakui berpuas hati dengan persembahannya pada malam bersejarah hujung minggu lalu. “Keseluruhannya, saya sangat berpuas hati dengan pemilihan lagu dan persembahan pada akhir BRTM. Terima kasih juga buat pasukan koir Sundu Van Voice dari Sabah kerana mengiringi persembahan saya.

    “Sebelum ini saya pernah menyertai beberapa pertandingan seperti di Festival Keamatan dan Bintang Remaja RTM, namun tidak mempunyai rezeki untuk menang. Kemenangan ini merupakan rezeki buat saya,” katanya yang mewarisi bakat nyanyian daripada keluarga.

    Ditanya tentang perancangan kerjaya selepas bergelar juara BRTM, wanita berketurunan Dusun itu mempunyai jawapannya sendiri. Mengakui belum merancang untuk menetap terus di ibu kota, dia bagaimanapun tiada masalah sekiranya terpaksa berulang-alik dari Sabah ke Kuala Lumpur demi nyanyian.

    “Saya hanya akan mengikut arus, bagaimana nyanyian yang membawa saya ke dalam dunia muzik. Saya juga bercadang mendapatkan bantuan daripada pihak yang berpengalaman dalam industri. 

    “Saya juga mahu menggunakan wang kemenangan untuk menghasilkan single,” ujarnya selesa membawakan lagu bergenre balada.

    Pada malam tersebut, Rosario turut memenangi kategori Vokal Terbaik, manakala Eryn atau nama penuhnya Nor Fazrina Mohd. Gani, 23, turut pulang dengan hadiah kategori Persembahan terbaik. Dua kategori sampingan tersebut melayakkan mereka pulang dengan wang tunai tambahan berjumlah RM5,000.

    Keputusan juri

    Sementara itu, mengulas tentang pemilihan juara, Ketua Juri BRTM 2016, Datuk Mokhzani Ismail berkata, keputusan juri dibuat berdasarkan persembahan peserta pada malam pertandingan akhir. Pemberian markah dibuat berdasarkan faktor vokal sebanyak 40 markah, persembahan (30 markah), manakala personaliti dan aura peserta diwakili 20 dan 10 markah.

    “Persaingan cukup hebat dapat dilihat daripada peserta wanita, namun yang membezakan markah mereka adalah ketika di pusingan kedua iaitu semasa menyampaikan lagu duet bersama penyanyi jemputan. Di sini kami melihat tahap konsisten dan keyakinan yang kekal menerusi persembahan Rosario,” jelas Mokhzani.

    Ditebak mengenai hala tuju bintang kelahiran BRTM 2016, Timbalan Pengarah Penyiaran Strategik RTM, Datuk Adilah Shek Omar menjelaskan, pihaknya cuma bertindak sebagai platform yang mencungkil bakat penyanyi.

    “RTM hanya mencungkil bakat dan menyediakan laluan kepada mereka. Bukan tanggungjawab kami menguruskan karier seseorang penyanyi, tetapi jika ada program yang sesuai, mereka akan diundang,” tegas Adilah.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Bintang RTM : Tuah Aksi Konsisten Rosario Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top