Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane ternyata berpuas hati atas kejayaan pasukannya menumbangkan Barcelona 2-1 pada pertembungan El Clasico dalam saingan La Liga awal pagi semalam.
Lebih manis, kemenangan tersebut tercipta ketika Real selaku pasukan pelawat merampas tiga mata penuh di Nou Camp meskipun beraksi dengan 10 pemain dalam pertembungan dua skuad musuh ketat itu.
“Saya sangat bangga dengan setiap pemain kerana perlawanan ternyata bukan mudah buat mereka. Saya gembira kerana bukan sekadar keputusan.
“Ternyata pemain beraksi bersungguh-sungguh sebagai satu pasukan. Selaku jurulatih, saya merasakan ia adalah suatu perkara yang baik untuk pasukan ini.
“Saya sangat gembira dengan prestasi keseluruhan pasukan dari segi serangan mahupun pertahanan. Kami mempamerkan rentak permainan yang baik secara keseluruhannya.
“Walaupun permulaan kami tidak berapa baik tetapi ia lebih baik (berbanding sebelum ini). Kami telah melakukan sebaik mungkin untuk menghadapi baki saingan musim ini.
“Selepas ini, kami mempunyai tugas lebih berat untuk persediaan menghadapi saingan Liga Juara-Juara menentang Wolfsburg, Khamis ini,” kata Zidane.
Dalam saingan tersebut, tuan rumah terlebih dahulu meraikan gol awal menerusi tandukan Gerard Pique pada minit ke-56 selepas kedua-dua pasukan ter–ikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama. Namun, keputusan tersebut tidak bertahan lama apabila Real pantas mencetak gol penyamaan menerusi Karim Benzema pada minit ke-62.
Bagaimanapun, keadaan sedikit cemas apabila kapten Real Madrid, Sergio Ramos dilayangkan kad merah pada minit ke-83. Lima minit sebelum tamat perlawanan, penyerang berbisa Portugal, Cristiano Ronaldo menjadi wira kebangkitan Real Madrid apabila meledak gol kemenangan 2-1, sekali gus menamatkan rekod 39 perlawanan tanpa kalah Barcelona di Nou Camp.
0 comments:
Post a Comment