IJM Corporation Berhad (IJM Corporation), syarikat konglomerat terkemuka melihat lebih banyak prospek baik untuk diteroka terutamanya apabila kerajaan mengumumkan beberapa projek dalam tempoh masa lima tahun ini bermula tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya Datuk Soam Heng Choon berkata, pihaknya sentiasa melihat keperluan untuk berkembang dengan lebih pesat memandangkan ia akan membantu pertumbuhan syarikat dari semasa ke semasa.
“Bagi landskap ekonomi Malaysia, kami melihat lebih banyak prospek baik untuk diteroka terutamanya apabila kerajaan mengumumkan akan terdapat lebih banyak projek dalam tempoh masa lima tahun ini bermula pada 2015 antaranya projek Lebuhraya Pan-Borneo, Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan banyak lagi projek pembangunan infrastruktur dan pembinaan.
“Sebagai pemain industri, kami melihat ia sebagai peluang terbaik kerana meskipun ekonomi global tidak menentu ketika ini, namun di Malaysia ia adalah sebaliknya kerana banyak suntikan ekonomi dilaksanakan kerajaan dan seterusnya mewujudkan perkembangan dari setiap aspek ekonomi,” katanya baru-baru ini.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015, Kumpulan itu merekodkan nilai pasaran sehingga RM11.65 bilion dan jumlah asset keseluruhan sebanyak RM19.73 bilion manakala keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.01 bilion.
Beliau berkata, setakat ini sumbangan perolehan kumpulan adalah berdasarkan kepada lima sektor utama yang dikendalikan iaitu hartanah (37 peratus), pembinaan (20 peratus), infrastruktur (17 peratus), industri (15 peratus) dan perladangan (11 peratus) yang memerlukan perancangan cekap digunakan supaya hasil memberangsangkan dapat dicapai.
IJM Corporation yang mula ditubuhkan sejak 1986 hanya mempunyai nilai pasaran sebanyak RM66 juta dan jumlah aset berjumlah RM172 juta. Seiring peningkatan dan transformasi dilaksanakan, kini syarikat konglomerat itu berjaya mencapai nilai pasaran sehingga RM12 bilion dan aset sebanyak RM19.7 bilion.
Selain itu, syarikat berkenaan turut menempa nama di peringkat global di 10 negara dengan fokus utamanya kepada Malaysia, India, China dan Indonesia. Perolehan disumbangkan pasaran luar negara meliputi 10 peratus berbanding 90 peratus kekal bagi pasaran tempatan.
Mengulas mengenai perancangan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) pada masa depan, Heng Choon berkata, perkara berkenaan sentiasa menjadi agenda utama syarikat konglomerat itu, namun ia bergantung kepada keadaan semasa kerana ia harus melalui perbincangan dan perancangan berkualiti.
“IJM Corporation sendiri berkembang melalui M&A, dan untuk terus menjadi lebih besar kita perlu lakukannya, tetapi sebarang keputusan dilakukan mestilah memberikan impak baik kepada syarikat secara keseluruhannya.
“Selain itu, kita juga melihat adakah ia bersesuaian kepada pihak kita kerana tidak mahu timbul ketidakserasian budaya kerja dalam kalangan kakitangan kerana ia boleh menjejaskan produktiviti semasa syarikat,” katanya.
0 comments:
Post a Comment