Seorang pegawai imigresen dan teman lelakinya yang diberkas bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi perempuan berusia 19 bulan akibat dihempas ke lantai Khamis lalu akan didakwa minggu ini.
Sumber berkata, pasangan berusia 22 dan 27 tahun tersebut berdepan hukuman gantung sampai mati apabila pendakwaan akan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas beberapa bukti yang dikumpul menjurus ke arah penglibatan mereka dalam pembunuhan tersebut.
Katanya, polis telah dibawa oleh suspek ke lokasi dia mencampakkan bantal yang mempunyai kesan darah selain menemui kain, pakaian, cap jari serta rambut yang telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
“Soal siasat mendapati, wanita itu yang bekerja di Jabatan Imigresen Putrajaya mengaku selalu memukul mangsa untuk melepaskan geram kerana tertekan dengan sikap suaminya.
“Sebaik tangkapan dilakukan, suspek telah menunjukkan kepada polis lokasi dia membuang pakaian yang digunakan ketika kejadian iaitu di tempat pembuangan sampah di apartmen tersebut.
“Kita turut menemui bantal yang mempunyai kesan darah, dua helai kain putih di ruang tamu rumah, beberapa helai rambut dan cap jari pada pintu peti sejuk,” katanya semalam.
0 comments:
Post a Comment