My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 6 April 2016

    'Pembeli' Juga Ada Yang Menipu


    Penipuan jual beli di Internet terus bertambah jika dilihat melalui status pengguna yang dipindah naik di ‘page’ jual beli gajet seperti ‘Handphone Lelong’, laman web e-dagang dan banyak lagi. Pelbagai taktik yang mengakibatkan pengguna kehilangan bukan puluhan malah mencecah ribuan ringgit hanya kerana mahu mendapatkan gajet seperti telefon pintar idaman mereka. 

    Penipu atau ‘scammer’ di Internet memanipulasi foto dan menggunakan ayat manis ketika menawarkan telefon pintar namun pada hakikatnya sama ada ia tidak sama seperti yang diiklankan atau gajet diterima bukan seperti diharapkan.

    Penipuan berleluasa turut merangkumi penyalahgunaan laman web e-dagang yang sepatutnya menjadi medan paling dipercayai namun terdapat segelintir iklan yang ditampal di laman e-dagang jauh menyimpang daripada menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.

    Penjualan membabitkan gajet di laman atau page Facebook mahupun Instagram pula kini menimbulkan kontroversi apabila ia seakan-akan lubuk mencari duit dengan mudah iaitu menipu pembeli. Tidak cukup dengan itu, terdapat juga kes ‘pembeli tipu’ kononnya dari luar negara mahukan gajet yang diiklankan namun sebaik saja ia dipos, wang tidak dimasukkan ke dalam akaun.

    Ramai yang hampir tertipu apabila pembeli ini yang kebanyakannya menggunakan nombor luar negara bermula dari +234 dikatakan menghubungi penjual untuk membeli produk namun dari aspek bahasa dan ayat digunakan sudah menunjukkan mereka tidak boleh dipercayai. Adakah kes penipuan individu ini boleh dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)?

    Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, seseorang yang ditipu kerana pembelian telefon boleh membuat aduan kepada TTPM jika telefon yang dibeli itu tidak sama dengan sampel ditunjukkan kepadanya ketika proses pembelian secara ‘online’.

    “Namun pembeli perlu berhati-hati ketika membeli secara online, terutama apabila membeli barang melalui blog, Facebook dan sebagainya,” katanya.

    Yusof berkata, begitu juga ketika membeli melalui portal online seperti eBay dan sebagainya yang dihoskan di luar negara.

    “Jika terdapat sesuatu masalah, pembeli perlu menyelesaikan sendiri dengan penjual kerana kes yang membabitkan portal atau media sosial yang dihoskan di luar negara tidak boleh dibawa ke TTPM,” katanya.

    Beliau berkata, hanya laman web yang dihoskan di Malaysia saja yang boleh dibawa ke TTPM kerana ia tertakluk kepada perundangan di Malaysia.

    “Kerajaan sudah mewajibkan mereka yang ingin berniaga melalui online perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang bertujuan memudahkan pihak berkuasa mengesan mereka jika berlaku sesuatu aduan,” katanya.

    Ulasnya, bagi penjual online yang beroperasi sebelum diwajibkan berdaftar dengan SSM, jika terdapat aduan kepada TTPM maka tribunal cuba mengesan dalam akaun siapakah wang dimasukkan oleh pembeli.

    “Ini bertujuan mendakwa pemilik akaun itu jika ia terbabit dengan penipuan itu atau bersubahat menggunakan akaunnya untuk tujuan menipu namun ini memerlukan kerjasama pihak bank untuk mengesan akaun terbabit,” katanya.

    Katanya, kes seperti ini biasanya berlaku melalui online seperti membeli melalui portal e-dagang tertentu dan seumpamanya.

    “Ini kerana laman e-dagang ini hanya menyediakan platform untuk membolehkan penjual menjual barang mereka dan apabila pembeli berminat untuk membeli produk yang diiklankan melaluinya, pembeli perlu berhubung sendiri dengan penjual. Di sini mungkin berlaku penipuan apabila terdapatnya penjual yang tidak jujur,” katanya.

    Pada tahun 2015, FOMCA melalui Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima 86 aduan berkaitan penipuan jual beli melalui online oleh individu. Jumlah aduan ini meningkat daripada tahun 2014 iaitu 59 aduan mengenai penipuan individu melalui online. Yusof menasihatkan pengguna mengelak membeli barangan online yang tidak memberi penerangan jelas mengenai barangan mereka.

    “Pastikan syarikat individu terbabit berdaftar dengan SSM, jika mereka memaparkan nama perniagaan atau nombor pendaftaran syarikat, anda boleh menyemak dengan SSM bagi tujuan pengesahan,” katanya.

    Selain itu, semak komen atau testimonial pembeli mengenai individu terbabit. Jika banyak komen yang negatif, elakkan membeli daripada individu itu.

    “Pastikan bayaran dilakukan di atas portal membeli-belah terbabit, bukannya kepada individu.

    “Sekiranya terdapat masalah, mudah untuk mengesan portal beli-belah berbanding dengan individu,” katanya.

    Pada masa sama, sekiranya individu itu menawarkan harga yang terlalu rendah, ada kemungkinan individu itu tidak mempunyai barangan terbabit atau cuba menjual barangan palsu. “Anda perlu mengetahui mengenai harga pasaran terkini sebelum membeli barangan terbabit.

    “Jangan lupa menyemak komen atau testimonial orang yang berurusan dengan individu itu seperti kualiti, penghantarannya menepati masa dan sebagainya,” kata Yusof.

    Resit atau bukti pembayaran hendaklah disimpan. Sekiranya anda membuat pembayaran secara online, sentiasa amalkan untuk menyimpan tangkapan skrin urus niaga berkenaan agar boleh dijadikan bukti untuk simpanan. Kemudian buatlah laporan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang mempunyai cawangan di setiap negeri.

    Anda boleh semak lokasi dan maklumat TTPM di pautan http://ttpm.kpdnkk.gov.my. Cara membuat laporan seperti berikut:
    1. Pergi cawangan Tribunal Pengguna yang berdekatan.
    2. Buka fail dengan bayaran RM5
    3. Pastikan anda membawa sekali bukti pembayaran/penyata bank dan segala maklumat mengenai berkaitan penipuan itu.
    4. Kes akan dibawa ke mahkamah.

    Sekiranya didapati bersalah, penipu akan diarahkan oleh mahkamah untuk membuat pembayaran balik kepada anda. Pengguna turut boleh membuat aduan memalui sistem E-Aduan kepada KPDNKK berkaitan sebarang aktiviti perniagaan yang tidak beretika.

    Sistem eAduan ini dibangunkan dan dilaksanakan dengan satu objektif iaitu untuk menyediakan satu medium menerima aduan melalui Internet daripada orang ramai. Laman web : http://eaduan.kpdnkk.gov.my atau e-mel kepada e-aduan@kpdnkk.gov.my
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: 'Pembeli' Juga Ada Yang Menipu Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top