Kerajaan negeri mengambil langkah drastik menghentikan semua aktiviti perniagaan tukar barang (barter trade) di semua pelabuhan seluruh negeri manakala aktiviti perdagangan secara pemunggahan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) turut digantung serta-merta.
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, pihaknya memandang serius kejadian penculikan yang berlaku dan langkah itu terpaksa diambil bagi memastikan masalah atau aktiviti menyalahi undang-undang dapat ditangani sepenuhnya.
“Selain menggantung aktiviti tukar barang dan pemunggahan, kerajaan negeri bercadang menangguhkan pelaksanaan feri penumpang antara Kudat ke Palawan, Filipina.
“Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan sepenuhnya terhadap semua aktiviti pelayaran dan perdagangan laut yang menyalahi undang-undang di timur Sabah,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN), semalam.
Musa berkata, pihaknya memaklumkan pendirian itu kepada kerajaan Filipina dan meminta pihak berkuasa negara berkenaan mengambil langkah sewajarnya bagi menangani ancaman penculikan.
“Tindakan penguatkuasaan dan pemeriksaan turut dilakukan terhadap semua kapal dan bot manakala kapal asing yang menyalahi peraturan tidak dibenarkan memasuki perairan negeri ini.
“Kerajaan juga sedang menimbang penggunaan bot pam dan tindakan rampasan akan dilakukan sekiranya dimiliki warga asing,” katanya.
0 comments:
Post a Comment