“Khairul Idham bakal gegar Moto3.” Demikian ujar bekas pelumba MotoGP negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini selepas pelumba muda negara, Khairul Idham Pawi melakar sejarah baharu apabila menjuarai kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar Termas De Rio Hondo, Argentina awal pagi semalam.
Meskipun rata-rata menyifatkan pelumba rookie negara itu hanya sekadar mampu mengutip pengalaman dalam saingan kelas ketiga (Moto3), namun pelumba dari Kampung Gajah, Perak tersebut ternyata melakukan kejutan apabila memperagakan tunggangan luar biasa di atas litar basah.
Khairul Idham yang mewakili pasukan Honda Team Asia melakukan tunggangan yang baik apabila memulakan perlumbaan di petak ketujuh sebelum membuat kejutan berada di tempat pertama, sekali gus mengekalkan kedudukan tersebut sehingga tamat perlumbaan dengan mencatat masa 41 minit 35.452 saat dalam 21 pusingan.
“Ini adalah permulaan yang baik bagi pelumba negara selepas mempamerkan aksi menakjubkan pada perlumbaan kedua saingan Moto3. Khairul mempunyai bakat luar biasa dan dia tidak mengenal erti putus asa dalam setiap perlumbaan yang disertainya.
“Selepas menyaksikan kejayaan Khairul Idham menaiki podium ketika dinobatkan juara dan lagu Negaraku berkumandang ia adalah tanda positif bahawa pelumba negara bakal melangkah pada tahap yang lebih baik pada masa akan datang,” kata Shahrol Yuzy yang pernah mengenali bakat Khairul Idham sejak berusia 14 tahun lagi.
Tambah Shahrol, dengan kemenangan ini dia berharap pelumba berusia 17 tahun itu mampu kekal konsisten dalam setiap perlumbaan sehingga akhir musim Kejohanan Motosikal Dunia.
“Ini adalah permulaan yang baik dan saya harap dia tidak lalai dengan kejuaraan pertama ini. Bagaimanapun, saya yakin kemenangan ini mampu melonjakkan semangatnya untuk terus menyerlah pada perlumbaan akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khairul Idham tetap mengakui perlumbaan itu sangat sukar, lebih-lebih lagi untuk merangkul kejuaraan sulung dalam aksi Moto3. “Saya berterima kasih kepada pasukan yang telah bertungkus lumus sepanjang perlumbaan dan saya gembira dengan kemenangan pertama ini.
“Jelas perlumbaan ini sangat sukar dengan keadaan litar yang mencabar. Saya hanya cuba lakukan yang terbaik untuk kekal fokus dalam setiap pusingan sehingga tamat perlumbaan,” katanya.
Kemenangan tersebut menyaksikan Khairul Idham memungut 25 mata untuk berada di tempat keempat. Litar Amerika di tengah Texas, Amerika Syarikat akan menjadi pusingan ketiga MotoGP dari 8 hingga 10 April ini.
0 comments:
Post a Comment