My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 6 April 2016

    Dunia Siasat 'Kertas Panama'


    Perancis, Sepanyol dan beberapa negara lain melancarkan siasatan berhubung jenayah mengelakkan cukai kelmarin susulan pembocoran sejumlah dokumen yang membongkar akaun luar pesisir milik ramai ahli politik dan selebriti.

    Skandal itu meletus pada Ahad lalu apabila beberapa kumpulan media mula mendedahkan hasil siasatan selama setahun berhubung 11.5 juta dokumen milik firma guaman, Mossack Fonseca yang pakar dalam mewujudkan syarikat dorman luar pesisir di Panama.

    Antara yang didakwa memiliki akaun luar pesisir itu termasuk kroni Presiden Rusia Vladimir Putin, saudara-mara pemimpin China Xi Jinping, Perdana Menteri Iceland, Sigmundur David Gunnlaugsson dan penyerang Barcelona, Lionel Messi.

    “Kami membuka siasatan kes pengubahan wang haram berhubung firma guaman ini, Mossack Fonseca,” kata sumber mahkamah jenayah tertinggi Sepanyol, Mahkamah Nasional susulan pendedahan itu yang menamakan Messi dan pengarah filem Sepanyol, Pedro Almodovar turut terlibat.

    Selain Sepanyol, Australia mengumumkan negara itu telah melancarkan siasatan terhadap 800 pelanggan Mossack Fonseca yang kaya raya. Pengumuman serupa turut dibuat oleh Perancis dan Belanda.

    Kesemua dokumen itu yang dikenali sebagai 'Kertas Panama', dibocorkan secara rahsia ke­pada akhbar Jerman, Sueddeutsche Zeitung sebelum dikongsi lebih 100 kumpulan media melalui Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ).

    Pendedahan pertama mencetuskan penafian termasuk dari Kremlin yang membayangkan komplot Amerika Syarikat (AS) setelah ICIJ menyatakan bahawa bank, syarikat dan kroni Putin menyimpang wang AS$2 bilion (RM7.80 bilion) dalam akaun luar pesisir.

    “Putin, Rusia, negara kita, ke­stabilan kita dan pilihan raya akan datang merupakan sasaran komplot ini,” kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov sambil menambah, pendedahan itu dipercayai dilakukan oleh wartawan-wartawan yang merupakan bekas pegawai dari Jabatan Negara AS dan Agensi Perisikan Pusat.

    Urus niaga kewangan luar pesisir tidak menyalahi undang-undang tetapi aktiviti itu banyak digunakan untuk menyembunyikan aset daripada pengetahuan pihak berkuasa percukaian, mengubah wang haram atau menyimpan kekayaan ahli politik.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Dunia Siasat 'Kertas Panama' Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top