Korea Utara menyatakan semalam bahawa seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) yang ditahan pada penghujung April lalu ditangkap kerana dia cuba melakukan ‘tindakan jahat’.
Agensi berita rasmi KCNA melaporkan, warga AS berkenaan yang dikenal pasti sebagai Kim Sang-dok ditahan pada 22 April lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang kerana melakukan ‘perbuatan jenayah dengan tujuan untuk menumbangkan Korea Utara’.
Maklumat terkini penahanan Sang-dok didedahkan ketika ketegangan di Semenanjung Korea memuncak berikutan kebimbangan bahawa Korea Utara akan melakukan ujian nuklear keenamnya di sebalik tekanan AS dan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
AS kini berunding dengan sekutu utama Korea Utara, China berkaitan tindakan lebih tegas oleh Majlis Keselamatan PBB walaupun Washington tidak menolak untuk mengambil tindakan ketenteraan ke atas Pyongyang. KCNA melaporkan kelmarin bahawa Sang-dok mengajar kursus perakaunan di Pyongyang.
“Dia dijemput untuk menjadi profesor di Universiti Sains dan Teknologi Pyongyang (PUST). “Sang-dok ditahan kerana melakukan perbuatan jenayah bertujuan untuk menumbangkan Korea Utara, bukan sahaja pada masa lalu, malah pada hari-hari terakhir sebelum dia ditangkap,” kata KCNA.
Pegawai penguat kuasa undang-undang sedang menyiasat jenayah yang dilakukan Sang-dok, tambahnya. Sang-dok atau nama Inggerisnya, Tony Kim berusia dalam lingkungan 50-an. Dia ditahan ketika cuba meninggalkan negara itu, kata canselor PUST.
PUST dalam satu e-mel kepada agensi berita Reuters turut menyatakan, pihaknya tidak percaya penahanan Sang-dok mempunyai kaitan dengan tugasnya di universiti berkenaan. Seorang jurucakap PUST pula berkata, isteri Sang-dok yang berada bersamanya ketika ditahan telah kembali ke AS.
Selain Sang-dok, Korea Utara turut menahan pelajar AS, Otto Warmbier, 22, dan seorang mubaligh berketurunan Korea-AS, Kim Dong-chul yang berusia 62 tahun.
Warmbier ditahan pada Januari tahun lalu dan dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun kerana cuba mencuri kain rentang propaganda Pyongyang. Dua bulan kemudian, Dong-chul pula dihukum penjara 10 tahun kerana melakukan jenayah subversif.
0 comments:
Post a Comment