My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 5 May 2017

    Vespa Kekal Klasik


    Sebut sahaja Vespa, pasti ramai mengingati bentuknya yang unik dan jauh berbeza daripada motosikal kapcai lain. Tidak kurang juga yang akan mengaitkan motosikal ini dengan zaman retro yang satu ketika dulu jika terdengar deruman enjinnya melintas rumah, pasti ada mata anak gadis mengintai dari celah jendela. 

    Lihat sahaja filem 1960-an dulu apabila kelibat motosikal ini dapat dilihat menyusuri jalan raya, sama ada ditunggang anak muda mahupun mereka yang lebih berusia dengan penuh gaya. Peluang menunggang uji motosikal klasik moden ini sememangnya sudah lama dinantikan dan kesempatan diberikan Naza Premira Sdn Bhd ini dimanfaatkan sebaik mungkin.

    Sebelum mengenali jentera retro moden ini dengan lebih dekat, pasti ramai yang tidak menyedari sejarah penghasilan motosikal ini. Vespa pertama kali dipertontonkan di khalayak ramai di Rom, Itali pada 1946 dan asalnya direka sebagai salah satu kenderaan perang yang digunakan secara meluas oleh tentera Perancis dan Amerika Syarikat (AS) untuk menentang Nazi.

    Motosikal ini membolehkan tentera payung terjun dan pasukan tentera laut AS melalui jalan yang dibom tentera Nazi dengan mudah selain menghampiri benteng pertahanan tentera pimpinan Adolf Hitler di sempadan Austria.

    Motosikal unik ini direka Enrico Piaggio, seorang jurutera Itali bahagian aeronautik selepas diarahkan ketuanya, Corradino D’Ascanio untuk membina sebuah jentera darat yang mudah, berperisai dan tidak mengotorkan baju selain mudah ditunggang sama ada lelaki atau wanita.

    Enrico kemudian mencipta sebuah mesin seakan motosikal tetapi mempunyai pengadang angin lebih lebar, kawalan gear di tangan selain enjin belakang yang disambungkan terus ke roda belakang. 

    Pengadang angin direka lebih lebar sebagai perisai bertujuan supaya tidak mengotorkan baju penunggang manakala bahagian tengah yang kosong memudahkan wanita berpakaian skirt menunggangnya. Bermula daripada situ, Vespa mula mencetuskan satu fenomena dan pada masa sama terus berevolusi.

    Identiti Vespa mudah dikenali melalui bentuk belakangnya yang ‘gemuk’ kerana segala peralatan mekanikal dan enjinnya dilindungi daripada sebarang kekotoran selain laci untuk menyimpan barangan. Terbaru tahun ini, pelancaran Vespa Sprint 150 ABS ternyata mengembalikan semula zaman kegemilangannya dan didatangkan dengan pakej terbaik sebagai jentera dua roda moden. 

    Sepanjang seminggu ‘berdamping’ bersama jentera ini, penulis kagum dengan kuasa enjin yang dibekalkan walaupun digerakkan dengan transmisi automatik, selaras peredaran zaman. Rekaannya masih kekal dengan pelindung hadapan lebar, bahagian belakang ‘berisi’ selain ruang tempat duduk lebar.

    Meskipun tidak lagi berbunyi seperti itik apabila model 1960-an dulu menggunakan enjin dua lejang, namun kelibatnya tetap mencuri tumpuan pengguna jalan raya lain. Vespa kini mirip kepada sebuah skuter didatangkan bersama enjin empat lejang lebih mesra alam. Malah, beberapa ciri menjadi nilai tambah kepada model motosikal sepanjang zaman ini.

    Pertama, paparan panel meter yang ringkas dan mudah dibaca membolehkan penunggang kekal fokus di jalan raya. Selain itu, ruang penyimpanan di bawah tempat duduk bersaiz 16.6 liter dan laci meletak barang kecil di bahagian hadapan ruang meletak kaki sangat praktikal selain cangkuk untuk menggantung topi keledar atau beg plastik.

    Sistem gantungannya pula kekal stabil meskipun memecut melebihi 100km/j atau ketika mencelah ketika kesesakan jalan raya. Walaupun dipadankan dengan rim bersaiz 12 inci, keadaan itu langsung tidak mengganggu tunggangan penulis.

    Suspensi tunggal hadapan dengan pegas Helical dan penyerap hentak tunggal Enhanced Slide Suspension bekerja dengan baik menyerap segala bentuk permukaan jalan raya. Brek cakera hadapan dilengkapi sistem brek anti-kekunci (ABS) memastikan jentera mampu dihentikan pada jarak selamat.

    Enjin silinder tunggal empat lejang tiga injap ini mampu menghambur kuasa 8.7kw pada 7,500rpm manakala tork setinggi 12Nm pada 5,000rpm. Kuasa yang dibekalkan sudah cukup untuk penunggang mengharungi laluan di bandar atau menyusuri lebuh raya dengan yakin dan selesa. 

    Berharga RM18,344.80 termasuk insurans, Vespa Sprint 150 ABS bukan sahaja sesuai untuk jejaka retro, malah sesuai untuk sang gadis bekerjaya yang berjiwa moden. Sama seperti Vespa Sprint 150cc ABS, jentera tersebut dikuasakan oleh unit enjin Piaggio i-Get baru empat lejang silinder tunggal bersesaran 150cc.

    Enjin dengan sistem penyejukan udara, Electronic PFI (Port Fuel Injection) dan tiga injap itu mampu menjana kuasa sekitar 12.7hp @ 7,750rpm dengan tork puncak 12.8Nm @ 6,500rpm.

    INFO VESPA SPRINT 150 ABS

    • Enjin: 150cc Empat lejang dan tiga injapElectronic PFI
    • Kuasa: 8.7kw @ 7,500rpm
    • Tork: 12Nm @ 5,000rpm
    • Transmisi: Automatik CVT
    • Berat: 120kg
    • Kapasiti bahan api: 9 liter
    • Harga: RM18,344.80 (termasuk insurans)
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Vespa Kekal Klasik Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top