Seiring usianya yang sudah 54 tahun, Lembaga Tabung Haji (TH) berjaya membuktikan ia adalah sebuah entiti yang amat matang. Selain memiliki pengalaman dan kepakaran diiktiraf oleh dunia terutama Arab Saudi, TH juga kini menjadi contoh kepada negara Islam lain dalam pengurusan jemaah haji.
Pencapaian TH sebagai institusi kewangan Islam unggul seumpamanya di dunia ini amat membanggakan kerana keunikan serta kemampuannya berperanan sebagai penerima deposit, pelabur dan pengurusan operasi haji terus diperakui.
Berdepan pelbagai cabaran semasa dunia seperti kelembapan ekonomi global, penyusutan nilai mata wang, penurunan harga minyak dan sebagainya tidak sesekali mematahkan semangat TH untuk terus memacu pertumbuhan pendapatan yang mampan serta berdaya saing demi kepentingan pendeposit dan jemaah haji.
Ia dibuktikan dengan bilangan pendepositnya yang kini melebihi 9.1 juta orang dan jumlah dana simpanan pendeposit terkumpul sehingga 31 Mac 2017 berjumlah RM68.5 bilion.
Pensyarah di Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Aznan Hasan berkata, akaun simpanan TH adalah berlandaskan konsep Al Wadiah Yad Dhamanah iaitu simpanan yang dijamin tetapi tidak menjanjikan apa-apa pulangan.
Namun, sekiranya ada pulangan, ia diberikan dalam bentuk hadiah yang dipanggil hibah tetapi pemberian itu terletak kepada budi bicara pihak TH dan tiada mana-mana pihak yang boleh memaksa mereka berbuat demikian. Di samping itu, seperti yang termaktub dalam Seksyen 24, Akta Tabung Haji 1995, wang simpanan pendeposit 100 peratus dijamin oleh Kerajaan.
Justeru, pendeposit tidak perlu berasa gusar atau risau dengan dakwaan sesetengah pihak mereka akan kehilangan wang simpanan berikutan aktiviti perniagaan atau pelaburan dilakukan TH. “Ramai dalam kalangan kita tidak jelas mengenai perkara ini.
Kita harus memahami bahawa akaun simpanan TH adalah berlandaskan konsep Al Wadiah Yad Dhamanah di mana apa-apa pulangan dalam bentuk hibah atau hadiah tertakluk kepada prestasi kewangan tahunan semasa dan budi bicara pihak TH.
“Pendeposit juga tidak boleh mengharap apa-apa pulangan daripada simpanan mereka itu. Ia bukan satu akaun pelaburan seperti pelaburan unit amanah. Secara ringkasnya, menerusi konsep ini, pendeposit menyimpan wangnya di TH dengan matlamat utama untuk ke Makkah bagi menunaikan haji.
“Dan mengikut kontrak ini, TH bersetuju untuk menjaga wang itu dan pendeposit juga memberi keizinan kepada TH untuk menggunakan wang mereka bagi tujuan perniagaan, pelaburan dan sebagainya.
“Kesan daripada kebenaran ini, TH dan kerajaan akan menjamin wang yang diletakkan di bawah jagaannya. Selain ia berlandaskan Islam, inilah satu daripada kelebihan apabila kita membuka akaun di TH.
“Dari sudut keuntungan yang diperolehi, ia adalah milik penuh TH. Oleh itu, keuntungan yang diagihkan adalah menurut budi bicara TH termasuk juga memberi pulangan yang berlainan kepada pendeposit,” katanya.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Penasihat Syariah Kewangan Islam (ASAS) menambah, konsep Al Wadiah Yad Dhamanah bukan sesuatu yang baru kerana ia turut diguna pakai oleh sebahagian besar institusi perbankan Islam lain di Malaysia.
Katanya, amalan pemberian hibah oleh institusi perbankan Islam kepada pendeposit wadiah adalah dibenarkan. “TH juga bukan melaburkan wang pendepositnya dengan sesuka hati tanpa usul periksa. Sudah tentu mereka mempunyai kepakaran dan perancangan strategik untuk membantu mereka mengumpul wang bagi mengerjakan haji,” katanya.
0 comments:
Post a Comment