My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 5 May 2017

    Megadeth Kecewa 'Dilabel' Perosak Masyarakat



    Kumpulan thrash metal popular dunia, Megadeth kecewa dengan dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan muzik mereka memberi pengaruh negatif dalam konsert sulung mereka di Stadium Negara, di sini, malam ini. 

    Penyanyi dan pemain gitarnya, Dave Mustaine berkata, sejak ditubuhkan lebih 30 tahun lalu, Megadeth tidak pernah membawa sebarang pengaruh negatif dalam setiap persembahan dan lagu-lagu mereka.

    "Niat kami hanya menghiburkan penonton dan tidak lebih dari itu. Lagu-lagu kami juga kebanyakannya mengenai perkara-perkara positif seperti kemanusiaan, kesan buruk peperangan dan sebagainya. Kami juga banyak terbabit dalam kerja-kerja amal termasuk membantu pesakit kanser dalam kalangan kanak-kanak.

    "Pada saya pendapat mengenai Megadeth sebagai ejen perosak masyarakat adalah sesuatu yang mengarut," katanya dalam temubual eksklusif bersama media semalam. Mustaine berkata, dia juga tidak menafikan ada pengaruh negatif dalam kalangan pemuzik metal, namun ia bergantung kepada seseorang individu.

    "Metal hanya satu genre muzik dan tak lebih dari itu. Semuanya terpulang kepada individu. Jika anda memang seorang yang tidak baik, anda mendengar muzik apa pun ia tetap sama," katanya.

    Selain Mustaine, Megadeth turut dianggotai David Ellefson (bass), Kiko Loureiro (gitar) dan Dirk Verbueren (dram). Konsert Megadeth Live In Malaysia diadakan sempena konsert jelajah dunia album terbaru mereka iaitu Dystopia.

    Dalam pada itu, Megadeth turut teruja membuat konsert pertama mereka di sini. Mustaine berkata, dia menghargai sambutan yang diberikan peminat muzik metal di sini. "Saya difahamkan mereka sudah menanti lebih 20 tahun. Tentunya kami memberikan yang terbaik buat mereka.

    "Anda juga beruntung kerana mempunyai negara yang cantik. Sebaik tiba di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), saya sudah kagum dengan Malaysia," katanya.

    Sementara itu, lebih 10,000 penonton membanjiri Stadium Negara, di sini, menyaksikan konsert mereka malam ini. Dalam konsert yang bermula jam 9 malam itu, Megadeth membawakan lagu-lagu daripada album terbaru Dystopia serta album-album terawal mereka.

    Antaranya ialah Hangar 18, Wake Up Dead, Symphony of Destruction, Peace Sells, Tornado of Souls, A Tout Le Monde dan Dystopia. Megadeth yang juga pemenang Grammy Awards 2017 lalu ditubuhkan di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 1983. Sehingga hari ini semua album mereka terjual lebih 50 juta unit di seluruh dunia.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Megadeth Kecewa 'Dilabel' Perosak Masyarakat Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top