Wira dua gol Gonzalo Higuain meminta rakan sepasukan Juventus supaya berpijak di bumi nyata selepas kemenangan menakjubkan 2-0 di AS Monaco awal pagi semalam menyebabkan mereka semakin menghampiri final Liga Juara-Juara.
Penyerang Argentina, Higuain menerima umpanan Dani Alves sebelum membuka tirai jaringan pada minit ke-29 dan kemudian menampan masuk hantaran lintang Alves sebelum sejam ketika Juve meraih apa yang dilihat sebagai kemenangan penting pada separuh akhir pertama di Stade Louis II.
Juara Itali itu mengintai final di Cardiff pada 3 Jun depan, dengan pertembungan menentang juara bertahan Real Madrid, bekas pasukan Higuain, satu kemungkinan. “Impian kami untuk ke Cardiff bermula sejak Ogos lalu dan kini kami hanya selangkah lagi,” kata Higuain.
Dia kini mengumpul 31 gol musim ini berikutan perpindahan bernilai 90 juta euro (RM426 juta) dari Napoli, membantu Juve menghampiri kemungkinan meraih tiga piala semusim. Higuain, yang menamatkan kemarau gol dalam tujuh perlawanan peringkat kalah mati Liga Juara-Juara berkata:
“Kami belum menang apa-apa lagi, jadi kami tidak boleh terlalu terbawa-bawa. Saya sering kali tenang. Saya tahu setiap orang yakin dengan keupayaan saya dan kerja keras selalu berbaloi akhirnya.”
Juventus menguasai segenap bahagian menentang Monaco yang memukau Eropah musim ini dengan corak serangan mereka. Selain Higuain, Juve turut berterima kasih dengan kecemerlangan penjaga gol veteran, Gianluigi Buffon.
“Gigi membuktikan dia masih seorang penjaga gol hebat. Dia sering melakukannya dalam perlawanan besar dan Higuain menyumbat dua gol menarik. Tapi untuk meraih keputusan ini setiap orang perlu bekerja keras,” ujar jurulatih Juve, Massimiliano Allegri.
Juventus boleh melengkapkan rekod enam kejuaraan Serie A berturut-turut hujung minggu ini apabila mereka berdepan jiran setempat Torino manakala Lazio menanti pada final Piala Itali.
“Mereka lebih klinikal berbanding kami dengan dua atau tiga peluang mereka menyumbat gol dan kami gagal menyempurnakan satu pun peluang kami. Buffon juga melakukan beberapa tindakan penyelamat menakjubkan,” kata jurulatih Monaco, Leonardo Jardim.
Sementara itu, Ajax Amsterdam menghasilkan persembahan setaraf kegemilangan masa lampau kelab itu apabila mereka membelasah Olympique Lyonnais 4-1 awal pagi semalam sekali gus berada di ambang final Eropah pertama sejak 1996.
Bertrand Traore mengemudi kemenangan itu dengan dua gol dalam perlawanan menarik separuh akhir pertama Liga Europa yang mana kelab Belanda itu menampilkan kesebelasan utama dengan purata usia bawah 22 tahun.
Pemain remaja Denmark, Kasper Dolberg dan Amin Younes turut menyumbang gol buat Ajax manakala Mathieu Valbuena membalas buat pelawat dari Perancis yang patutnya boleh menyumbat tiga atau empat gol. Penampilan final terakhir Ajax di Eropah adalah Liga Juara-Juara 1996 apabila mereka tumpas kepada Juventus menerusi penentuan penalti.
Ajax mendahului bertentangan dengan arus permainan apabila pada minit ke-25, Traore menanduk masuk sepakan percuma melencong Hakim Ziyech melepasi jangkauan penjaga gol Anthony Lopes.
Penyerang Burkina Faso itu, yang dipinjamkan dari Chelsea, turut membantu gol kedua Ajax sembilan minit kemudian apabila dia menanduk sepakan Lopes ke kaki Dolberg, yang merembat leret melepasi penjaga gol Portugal itu.
Ajax mengukuhkan kedudukan empat minit selepas rehat apabila Ziyech melorongkan bola kepada Younes, yang mengatasi Lopes dengan percubaan yang terbias. Valbuena mengurangkan defisit pada minit ke-66, merembat masuk dari penjuru kotak penalti.
Nabil Fekir hampir meraih gol kedua Lyon tidak lama kemudian namun dinafikan oleh Andre Onana. Traore mengembalikan kelebihan tiga gol Ajax pada minit ke-71 selepas menampan masuk hantaran silang Ziyech.
0 comments:
Post a Comment