Kesihatan pelakon Benjy yang sedang menjalani hukuman penjara kerana memiliki dadah di Medan, Indonesia selama 11 tahun sejak dua tahun lalu dikhabarkan berada dalam keadaan kritikal.
Penyakit asma dan kesukaran untuk bernafas yang dihidap Khaeryll Benjamin Ibrahim, 40, semakin kritikal sejak dua tahun lalu kerana kesukaran akses mendapatkan rawatan dan kos perubatan.
Mendedahkan keadaan terkini Benjy, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Rozaidi Abd. Jamil berkata, anak kepada primadona Allahyarhamah Azean Irdawaty Yusoef itu, pernah merayu bantuan dengan beberapa rakan artis melalui pesanan ringkas sejak menjalani hukuman.
"Sewaktu kita secara peribadi bertemu dengan Benjy, dia memeluk kami dengan erat. Dia memberitahu, ini kali pertama menerima lawatan dan kenalan dari Malaysia.
"Dia tidak boleh bersembang. Sekejap batuk, sekejap menangis. Kita lihat keadaan kesihatan dia memang serius walaupun daripada raut wajahnya kelihatan tenang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Tabung Prihatin Seniman dan Seniman Run 2.0 di sini hari ini. Menurut Zed Zaidi, siri lawatan itu membuahkan idea kepada SENIMAN untuk melancarkan tabung bertujuan menampung keperluan Benjy sepanjang menjalani hukuman.
Menegaskan bantuan itu bersifat kemanusiaan, Zed Zaidi berkata, Benjy memerlukan antara RM500 hingga RM600 sebulan khas untuk kos perubatan.
"Kita akan lihat dan kaji kaedah pemberian sumbangan ini kelak. Kita berharap dapat terus membantu Benjy sepanjang menghabiskan baki hukumannya," katanya.
Terdahulu, pada 15 hingga 17 Disember lalu, SENIMAN telah melawat Benjy yang kini menjalani hukuman penjara Tanjung Gusta, Medan di Indonesia selama 11 tahun tiga kerana memiliki dadah seberat 4.5 gram pada April 2017.
0 comments:
Post a Comment