MANCHESTER United memilih masa yang ‘pelik’ untuk memecat Jose Mourinho, kata bekas pemain Lee Sharpe yang turut berpendapat melantiknya sebagai pengurus satu kesilapan.
United mengumumkan pemecatan Mourinho, semalam selepas kekalahan 1-3 kepada Liverpool, Ahad lalu dengan pengendali itu menghabiskan tempoh dua tahun setengah di Old Trafford.
Pengendali dari Portugal itu menghadiahkan United trofi Liga Europa dan Piala Liga pada musim pertamanya tetapi persembahan bekas bos Chelsea, Real Madrid dan Inter Milan itu musim ini dihantui keputusan buruk dan pergeseran dengan pemain bintangnya.
Menghuni tangga keenam Liga Perdana dan ketinggalan 11 mata di belakang pasukan tangga keempat, Chelsea menjelang jadual padat menyebabkan pemecatan pengurus itu sebagai pelik tetapi Sharpe merasa ia perkara yang perlu dilakukan.
“Masanya agak sedikit pelik,” kata Sharpe. “Mereka mengharungi empat perlawanan dalam tempoh 10 ke 12 hari. Mereka jelas tidak mempunyai senarai pemain yang selari dan saya berfikir disebabkan pasukan tidak bermain dengan hebat, mereka memperoleh keputusan yang buruk.
“Moral Mourinho dan pemain-pemain menurun. Mereka mungkin sudah menerima yang mereka tidak akan menamatkan saingan di kedudukan empat teratas dan kini adalah masa untuk berubah.”
Sharpe yang juga bekas pemain England berkata, Mourinho mempunyai masalah yang menggunung di United termasuk senarai kecederaan panjang dan tidak mendapat sokongan lembaga pengarah tetapi paling utama ialah jurulatih dan kelab itu sejak dari awal tidak serasi.
“Dia gemar ‘membunuh’ permainan sebelum dia memenanginya dan ia bukan falsafah United. Mereka memberinya kontrak yang bagus tahun lalu tetapi tidak menyokongnya. Kemudian mereka tidak memberinya pemain-pemain yang dia mahukan.
“Dia tidak pernah menjadi pilihan pertama saya untuk menjadi pengurus (United). Mereka tidak beraksi di Eropah ketika itu dan dia adalah seseorang yang boleh membawa masuk nama-nama besar dan meningkatkan standard.
“Dia mempunyai mentaliti kemenangan dan membawanya ke kelab. Tetapi ia bukannya cara United. Saya fikir ia adalah kesilapan tetapi saya dapat memahami mengapa mereka melakukannya.”
0 comments:
Post a Comment