Perlu diakui bahawa semasa pentadbiran Datuk Seri Haji Mohd Najib Tun Abdul Razak, pelbagai inisiatif dilakukan oleh beliau dan kerajaan Barisan Nasional untuk memperkasakan kuasa ekonomi Melayu dan Bumiputera menerusi pelbagai insiatif bantuan terus daripada kerajaan.
Jika sebelum ini, kebanyakan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dari kalangan Melayu dan Bumiputera dilihat terkial-kial mencari modal dan tempat untuk melonjakkan hasil perindustrian mereka, kerajaan Barisan Nasional sebelum ini menyediakan laluan dan khidmat nasihat kepada para pengusaha ini.
Sedikit sebanyak, ianya telah melonjakkan industri kecil dan sederhana serta memperkasakan ekonomi bumiputera ketahap yang amat membanggakan. Pelbagai produk berjaya dieksport keluar negara hasil daripada bantuan pelbagai agensi kerajaan seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun, Permodalan Nasional Berhad dan pelbagai agensi yang lain.
Namun, semua usaha ini nampaknya sudah mula dicantas satu persatu. Semalam, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang selama ini menjadi tempat buat golongan para ibu tunggal dan pengusaha dari kalangan wanita membuat pinjaman untuk perusahaan mereka, telah pun di bubarkan.
Alasan yang diberikan adalah AIM telah melanggar Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan). Agak meghairankan sebenarnya kerana sejak penubuhan AIM pada 1987, tidak pernah wujud satu pun isu mahupun pertikaian tentang penubuhan agensi ini.
Secara tiba-tiba, setelah 7 bulan tampuk pemerintahan bertukar tangan, agensi yang memfokuskan untuk membantu melonjakkan ekonomi kaum Melayu dan Bumiputera terutamanya kaum wanita, dikatakan telah melanggar akta tertentu. Walhal, jika dilihat dari segi rekod, lebih RM 2.3 bilion telah di pinjam oleh kira-kira lebih 300 ribu orang peminjam.
Apa salah AIM kepada kerajaan sekiranya mereka memberikan pinjaman mikro kepada para peminjam yang mengusahakan kuih muih, kerepek, keropok dan pelbagai lagi produk kampung untuk dipasarkan ke bandar-bandar besar?
Adakah pinjaman seumpama ini mampu menjahanamkan ekonomi negara kerana kesemua peminjam ini datangnya dari golongan miskin yang mahu keluar dari kepompong kemiskinan, ibu-ibu tunggal, suri rumah, wanita yang menceburi bidang perniagaan dan lain-lain kelompok yang berada di dalam lingkungan B40?
Jika alasan kononnya majoriti peminjam gagal membayar balik pinjaman, menerusi statistik pembayaran balik pinjaman, hanya kira-kira 24 peratus sahaja yang gagal membayar balik atau lewat menyelesaikan pinjaman mereka. Adakah ini menjadikan alasan utama kenapa agensi yang membantu melonjakkan ekonomi bumiputera ini di bubarkan?
Bukankah lebih mudah sekiranya pihak Kementerian Kewangan mahupun kerajaan sendiri mengumumkan, semua bantuan khusus untuk Melayu dan Bumiputera akan di mansuhkan bagi membolehkan keterbukaan ekonomi dilaksanakan di negara ini? Ini kerana, cara kerajaan dan Kementerian Kewangan menamatkan terus AIM ini dilihat mempunyai unsur-unsur politik yang keterlaluan.
Adakah kerajaan hari ini lebih menggalakkan kaum Melayu dan Bumiputera yang ingin memulakan perniagaan mahupun perusahaan Industri Kecil dan Sederhana, meminjam dari ceti haram ataupun deretan Ah Long? Sudahlah pinjaman perbankan begitu sukar untuk di dapati, salah satu cara membuat pinjaman terus dari kerajaan sendiri juga sudah mula di cantas.
Justeru, apa yang bakal disaksikan esok adalah salah satu kebangkitan suara keramat orang Melayu untuk memperjuangkan hak dan nasib mereka di tanahair sendiri setelah kerajaan yang sepatutnya memayungi rakyat terutama kaum Melayu dan Bumiputera dilihat lebih mengutamakan kelompok yang menyokong mereka dari sebahagian besar rakyat yang berada di bawah.
0 comments:
Post a Comment