Jika dikira dan direnung semula keadaan politik di dalam Pakatan Harapan hari ini, nampaknya berlaku perbalahan yang disifatkan agak mencabar kedudukan Tun Dr Mahathir selaku Pengerusi Pakatan Harapan. Walaupun pada dasarnya, mereka berjaya menutup perbalahan dalaman ini, namun, jika dilihat sejak akhir-akhir ini, perbalahan ini semakin sukar untuk diselindungkan.
Jika sebelum ini, Tun Dr Mahathir boleh mendakwa kesemua parti yang membentuk Pakatan Harapan ini masih kekal menyokongnya, namun apa yang berlaku hari ini, menampakkan sedikit kejanggalan. Baik DAP, PKR mahupun PAN, masing-masing sudah berani bersuara dan mempersoalkan setiap tindak tanduk Tun Dr Mahathir menguruskan Pakatan Harapan.
Semuanya gara-gara kemahuan beliau yang mahu melihat PPBM diperkasakan dengan "membeli jiwa dan maruah" sebilangan pemimpin dan Ahli Parlimen dari UMNO untuk menyertai PPBM. Tindakan ini sebenarnya mudah difahami kerana hari ini, PPBM masih belum mampu untuk bertapak dengan kukuh.
Tambahan pula, PPBM adalah sebuah parti yang hanya mempunyai 13 buah kerusi Parlimen sebelum angka ini ditambah dengan penyertaan Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang bertindak berpaling tadah dan menjadi pengkhianat.
Apa yang melucukan adalah, sebelum ini, Tun Dr Mahathir begitu tegas menyatakan bahawa partinya mahupun Pakatan Harapan tidak akan menerima mana-mana pemimpin UMNO yang ingin melompat parti. Tetapi, apa yag disajikan sepanjang minggu lepas menyaksikan, PPBM seolah-olah sedang memborong sakan Ahli Parlimen UMNO untuk melompat masuk kedalam PPBM.
Inilah yang menyebabkan DAP, PKR dan PAN agak marah kerana bagi DAP, tindakan Ahli Parlimen UMNO yang melompat parti ini sebagai tidak bermaruah. Bagi PKR pula, mereka kekal dengan pendirian untuk tidak menerima mana-mana Ahli Parlimen mahupun pemimpin UMNO masuk kedalam PKR kerana mereka anggap Ahli Parlimen dan pemimpin ini tidak ikhlas dalam memperjuangkan reformasi kepimpinan negara.
Mungkin bagi Tun Dr Mahathir, usahanya untuk membentuk UMNO 3.0 menerusi lompatan beramai-ramai Ahli Parlimen UMNO ini bakal mengukuhkan PPBM dan kerajaan pimpinannya. Namun tindakan solonya ini menjadikan kedudukannya tidak lagi di hormati oleh rakan-rakannya di dalam Pakatan Harapan.
Memandangkan DAP sendiri yang selama ini dilihat cukup dominan di dalam Pakatan Harapan menyuarakan rasa tidak puas hati, bukan satu perkara yang mengejutkan andai DAP kembali memberi sokongan mereka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selama berbelas tahun diangkat sebagai calon Perdana Menteri.
Malah, tindakan Nurul Izzah Anwar yang meletakkan jawatannya selaku Naib Presiden PKR menampakkan, PKR sendiri sudah mula hilang sabar dengan kerenah dan kemahuan Tun Dr Mahathir yang mahu mengukuhkan kuasa tanpa mempedulikan pandangan rakan sesama Pakatan Harapan.
Tidak dapat dipastikan samada percaturan politik Tun Dr Mahathir kali ini berjaya ataupun tidak untuk beliau mengekalkan kuasa dan sekali lagi menidakkan peluang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri. Namun, sekiranya beliau gagal menyejukkan hati DAP, PKR dan PAN dalam masa terdekat, kedudukan beliau pasti akan terancam.
0 comments:
Post a Comment