My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 17 December 2018

    Damailah Di Sana Wahai Adib...



    Masih terbayang akan jasad Muhammad Adib Mohd Kasim, anggota Bomba dan Penyelamat yang bertugas semasa kejadian rusuhan kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya yang terbaring lemah akibat dibelasah oleh para perusuh pada malam penuh puaka berkenaan.

    Keadaannya yang dilihat cukup lemah akibat kecederaan dalaman memang cukup menyedihkan. Malah, para pemimpin negara juga turut sama menziarahi beliau di Institut Jantung Negara (IJN) termasuk Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Haji Mohd Najib dan isteri dan ramai lagi pemimpin yang turut hadir dan bersimpati terhadap nasib beliau.

    Pada satu ketika, pihak IJN ada mengeluarkan kenyataan yang menyebut keadaan semasa Muhammad Adib menunjukkan perkembangan positif. Malah, media turut melaporkan, beliau sudah mampu untuk bernafas sendiri tanpa bantuan mesin bantuan hayat. Lebih menarik lagi, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memberitahu, Muhammad Adib dijangka boleh meneruskan majlis perkahwinan beliau dalam bulan ini.

    Namun, takdir Allah menentukan segalanya. Pada jam 9.41 malam, anggota bomba yang didakwa dilanggar oleh jentera bomba sendiri pada malam kejadian oleh pihak pengurusan kuil, menemui sang Penciptanya selepas hampir sebulan beliau bertarung dengan nyawa.

    Memang diakui, kehilangan beliau ini memberi satu tamparan hebat buat pasukan keselamatan yang bertugas pada malam kejadian. Malah, kematiannya ini juga pantas menimbulkan seribu satu persoalan bagi menjawab persoalan, siapakah yang bertanggungjawab membelasah beliau sehingga akhirnya beliau menemui ajal.

    Menurut laporan media, suspek yang dikatakan memukul Muhammad Adib telah ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis seminggu yang lalu. Adakah kali ini, pihak berkuasa akan menahan semula suspek bagi merungkai sepenuhnya kematian hero yang tidak didendangkan ini?

    Bersandarkan kepada keluhuran undang-undang serta "Rule of Law" yang dilaungkan hari ini, diharapkan kematian penuh tragis anggota Bomba dan Penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim ini dibela sepenuhnya dan pelaku kejam ini wajar diheret ke mahkamah dan dijatuhi hukuman yang sewajarnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Damailah Di Sana Wahai Adib... Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top