My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 17 December 2018

    Sepatutnya Bantulah Nakhoda Bukan Jadikan Nakhoda Umpan Pada Si Jerung



    Kebelakangan ini gelora yang ditempuh oleh UMNO masih belum lagi menemui titik reda. Ada sahaja yang datang membadai walau segala usaha sudah dilipat gandakan untuk memastikan UMNO kekal mampu bertahan dan terus bangkit setelah mengalami kekalahan yang cukup mengecewakan pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu.

    Sejak 9 Mei lalu, pelbagai cabaran muncul dan pastinya kedudukan Presiden UMNO kerap kali dijadikan bahan. Apabila timbul masalah, pasti ada desakan yang mahu kedudukan Presiden ditukar sedangkan permasalahan yang timbul adalah disebabkan oleh orang bawahan.

    Sejak hari pertama UMNO dan BN ditumbangkan, kedudukan Presiden UMNO dan Pengerusi BN akan menjadi sasaran. Sebagai contoh, lihat sahaja bagaimana lantangnya bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mendesak Datuk Seri Haji Mohd Najib Tun Abdul Razak meletakkan jawatan sebagai tanda kebertanggungjawaban beliau atas tewasnya UMNO dan BN.

    Sebenarnya, Khairy tidak perlu pun membuat desakan berkenaan kerana Datuk Seri Haji Mohd Najib sendiri sudah membuat keputusan untuk berundur atas rasa tanggungjawab beliau sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

    Akhirnya, peralihan kuasa berlaku dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di namakan sebagai pengganti dan seterusnya menjadi Presiden UMNO yang sah untuk penggal 2018 - 2021. Namun, harapan untuk menyaksikan kestabilan UMNO dapat diwujudkan, nampaknya harapan berkenaan meleset sama sekali.

    Baru sebulan beliau memegang tampuk pentadbiran UMNO, desakan untuk meminta beliau berundur mula kedengaran. Semuanya gara-gara pendakwaan lemah terhadap beliau oleh SPRM tentang kononnya wujud 45 kes salah laku membabitkan beliau dan Yayasan Akal Budi milik beliau.

    Tidak terhenti setakat itu, desakan yang sama kembali kedengaran apabila para pemimpin UMNO terutamanya Ahli Parlimen UMNO memilih untuk melompat parti. Lebih teruk lagi, wujud khabar angin mendakwa beliau telah mengeluarkan arahan sulit untuk menyaksikan wujud kerajaan perpaduan antara PKR dan DAP.

    Tanpa usul periksa, kedudukan beliau terus diserang hebat oleh ahli UMNO sendiri sedangkan beliau sudah acap kali menyatakan bahawa, tidak mungkin UMNO akan menjalinkan kerjasama dengan DAP walau apa bentuk cara sekali pun. Beliau lebih memfokuskan untuk menyatu padukan kaum Melayu dan menjalinkan kerjasama erat dengan PAS.

    Namun keadaan jelas tidak memihak kepada beliau apabila para pemimpin UMNO, samada terdesak akibat ketiadaan projek untuk meneruskan gaya hidup mewah mereka ataupun wujud ugutan menerusi pelbagai agensi berkaitan, bertindak meninggalkan UMNO. Lebih buruk lagi, kesemua mereka seolah-olah memperlekehkan hak dan kuasa beliau selaku Presiden UMNO yang sah.

    Sepatutnya, dalam keadaan seperti ini, UMNO perlu kembali merapatkan saf. Para pemikir UMNO terutamanya para pemimpin UMNO perlu sedar bahawa UMNO adalah sebuah pati yang diamanahkan oleh pihak Istana untuk menjaga kebajikan kaum Melayu, bukan mengutamakan tembolok dan poket masing-masing.

    Sewajarnya mereka duduk bersama dan membincangkan bagaimana mahu memperkasakan UMNO semula setelah hebat di fitnah dan berjaya diwujudkan perasaan benci rakyat kepada UMNO. Bukannya bertindak meninggalkan UMNO di kala susah dan meninggalkan Presiden UMNO terkapai-kapai membetulkan semula ahala tuju parti.

    Andai diambil contoh dari sebuah pelayaran, seandainya kapal berkenaan mempunyai masalah, sepatutnya para anak kapal memikirkan bagaimana mahu membetulkan semula kapal berkenaan. Bukannya anak kapal sibuk memasang mata joran di mulut nakhoda untuk dijadikan umpan kepada jerung di lautan hanya semata-mata kapal yang dinaiki mengalami kebocoran.

    Lihat sahaja bagaimana PKR yang menyaksikan pemimpin utamanya disumbat kepenjara. Ahli PKR masih kekal setia menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun mahkamah sudah menjatuhkan hukuman sebanyak dua kali terhadap beliau. Ini tidak, Presiden yang begitu mengharapkan sokongan ahli dan pemimpinnya, dikhianati oleh pemimpin dan ahlinya sendiri.

    Perlu ditegaskan bahawa kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini ditentukan sendiri oleh kesemua 191 bahagian UMNO di seluruh negara. Ianya bukan kuasa lantikan mahupun dokongan orang-orang seperti Khairy Jamaluddin yang hari ini cuba sekali lagi bertindak menjadi jaguh untuk menumbangkan sekali lagi Presiden UMNO, kali ketiga dalam tempoh 10 tahun.

    Inilah masa yang terbaik buat semua anak-anak kapal UMNO mencari di mana masalah kapal berkenaan untuk diperbaiki di bawah satu nakhoda yang dipilih sendiri oleh anak-anak kapal UMNO. Berhenti menjadikan Nakhoda UMNO ini sebagai umpan buat si jerung atau paling teruk lagi, dijadikan korban untuk membolehkan UMNO dikuasai oleh golongan yang langsung tidak mempedulikan ahli UMNO dan kaum Melayu itu sendiri.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sepatutnya Bantulah Nakhoda Bukan Jadikan Nakhoda Umpan Pada Si Jerung Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top