Sekalung ucapan takziah diucapkan buat keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat yang akhirnya menemui ajalnya akibat dibelasah semasa kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya bulan lalu. Sesungguhnya kematian Allahyarham amat dirasai dan cukup diratapi oleh seluruh rakyat Malaysia.
Membicarakan tentang kematian Allahyarham Muhammad Adib ini, pastinya ramai dikalangan rakyat Malaysia memantau dengan penuh minat, apa yang akan berlaku seterusnya setelah 4 orang suspek yang ditahan berikutan kes ini telahpun dibebaskan oleh mahkamah dan atas jaminan pihak polis.
Untuk rekod, pada 10 Disember yang lalu, Majistret Nurshahirah Abd. Salim telah membebaskan dengan bon mahkamah sebanyak RM 2,000 terhadap dua orang suspek yang memukul Allahyarham Muhammad Adib manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan jaminan dari pihak polis.
Sebaik sahaja berita sedih pemergian Allahyarham Muhammad Adib tersebar, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab. Rashid Ab. Wahab dalam satu kenyataan rasmi semalam memberitahu, kes melibatkan Allahyarham ini telah dipinda dari Seksyen 307 kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kearan membunuh.
Pada dasarnya, memang patut kes ini disiasat menerusi Seksyen 302 kerana mangsa yang dipukul sudahpun meninggal dunia. Persoalannya, adakah 4 orang suspek yang telah dibebaskan sebelum ini akan ditahan dan dibicarakan semula? Apa pula tindakan terhadap Setiausaha Badan Bertindak kuil itu, V K Regu yang mendakwa Allahyarham Adib dilanggar oleh jentera bomba sendiri?
Jika kita perhatikan sebelum ini, ada beberapa kes melibatkan beberapa orang dari kaum lain, kecoh dan hangat di perkatakan. Sebagai contoh, lihat sahaja bagaimana kematian bekas setiausaha politik, Teoh Beng Hock yang boleh dikatakan tidak pernah selesai walaupun kerajaan sebelum ini telah menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat kematian Beng Hock.
Lebih hebat lagi, deretan peguam hebat yang majoritinya Ahli Majlis Peguam yang condong kearah DAP, tampil membela kes ini dengan menuduh kerajaan sebelum ini sebagai cuai. Mereka seolah-olah langsung tidak boleh menerima laporan perubatan dan hasil siasatan dari Suruhanjaya Siasatan DiRaja yang merumuskan, Beng Hock menemui ajal akibat membunuh diri.
Satu lagi contoh bagaimana N Surendran begitu bersungguh-sungguh membela kematian S. Balamurugan yang menemui ajal semasa dalam tahanan pihak polis. Walaupun pihak polis sudah mengeluarkan hasil siasatan bagi menyiasat kematian Balamurugan, namun, semua pihak enggan menerima hasil laporan ini.
Sebaliknya, pihak-pihak ini kekal menunding jari kononnya kerajaan Barisan Nasional pada ketika itu cuai dan pihak polis tidak mengikut prosidur siasatan biasa sehingga menyaksikan tahanan pihak polis menemui ajal.
Perlu diingatkan bahawa kes rusuhan di kuil berkenaan sepatutnya tidak berlaku andai pihak kuil itu sendiri akur dengan perintah mahkamah. Malah rusuhan ini juga tidak berlaku sekiranya kumpulan Melayu yang didakwa menerima upah untuk menghalau kaum India yang bertahan di kuil berkenaan oleh pihak pemaju, tidak bertindak bodoh menerima upah sedemikian.
Paling utama, ketegangan seumpama ini tidak akan timbul sekiranya Menteri Perpaduan, P. Waytha Moorthy tidak membawa semula isu ICERD yang menyaksikan kemarahan ramai pihak. Malah, kenyataan dia sebelum itu juga telah menyebabkan hubungan antara kaum di negara ini berada pada tahap yang agak tegang.
Namun, perkara sudah pun berlaku. Hari ini, apa yang diharapkan adalah, kematian yang tidak sepatutnya berlaku ini mendapat pembelaan yang sewajarnya. Muhammad Adib hanya berada di tempat yang salah pada waktu yang salah. Itu sahaja kesalahannya. Selebihnya, Allayarham menjadi mangsa kepada kerakusan dan kemarahan orang yang tidak berakal dan berotak.
Mungkin bagi pihak kerajaan mahupun pihak polis, siasatan menyeluruh perlu diadakan bagi merungkai, apa sebenarnya yang berlaku terhadap Allahyarham Adib supaya kemarahan orang ramai dapat diredakan. Semua pihak mahu tahu keadaan sebenar dan terpulanglah kepada pihak kerajaan dan polis menyelesaikan masalah ini dengan seadil-adilnya.
0 comments:
Post a Comment