My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 5 December 2018

    Masih Relevankah MCA?



    Sejarah telah mencatatkan bahawa Malaysian Chinese Association (MCA) merupakan salah sebuah parti komponen utama Perikatan sebelum namanya ditukar kepada Barisan Nasional. Ditubuhkan pada 27 Februari 1949 oleh Tun Tan Cheeng Lock, parti ini secara amnya memperjuangkan nasib kaum Cina di Malaysia.

    Sebaik sahaja terbentuknya Parti Perikatan pada 1952, MCA telah bersetuju untuk bersama-sama UMNO dan MIC untuk membentuk satu perkongsian kuasa yang mana MCA dan MIC turut bersetuju untuk menjadikan UMNO sebagai tunjang kepada sebuah parti Perikatan yang ditubuhkan untuk memastikan Malaya (Malaysia) mengecapi kemerdekaan.

    Perkara ini diteruskan apabila Allahyarham Tun Abdul Razak mahu menjenamakan semula Parti Perikatan ini kepada Barisan Nasional pada 1 Januari 1973. Tidak ada apa yang berubah sejak dari tarikh berkenaan sehinggalah "bencana" politik membadai Barisan Nasional.

    Daripada gagasan 13 buah parti yang membentuk satu parti solid pemerintah yang dinamakan sebagai Barisan Nasional, satu persatu pergi meninggalkan Barisan Nasional. Hari ini, sebaik sahaja kuasa mentadbir BN tamat pada awal pagi 10 Mei 2018, BN kembali kepada asas parti berkenaan iaitu UMNO, MCA dan MIC.

    Namun begitu, tidak semua daripada ketiga-tiga parti ini kekal setia bersama-sama BN. Sehingga artikel ini diterbitkan, hanya UMNO dan MIC dilihat masih kekal komited untuk terus menjulang bendera dacing tanda keadilan dan keseimbangan ini. Manakala MCA di lihat sedang cuba mencari helah untuk meninggalkan gagasan ini.

    Timbul juga persoalan, masih relevankah MCA untuk terus kekal berada di dalam gagasan BN ini? Persoalan ini timbul setelah keputusan yang diambil oleh parti kaum Cina berkenaan untuk mendesak BN di bubarkan bagi membolehkan penjenamaan semula di lakukan. Pada dasarnya, cadangan ini dilihat perlu diperhalusi.

    Namun andai kita selami erti sebenar permintaan MCA ini, ianya menampakkan satu kejanggalan. Ini kerana, menurut perlembagaan BN, satu-satu cadangan dari mana-mana parti komponen, perlu di bawa ke Majlis Presiden BN untuk di bincangkan. Andai ada mana-mana parti yang menolak, maka cadangan berkenaan akan terbatal begitu sahaja.

    Hari ini, setelah tidak lagi membentuk satu gabungan parti, MCA dilihat lebih senang membawa haluan mereka sendiri. Lihat sahaja beberapa Pilihan Raya Kecil terutamanya Pilihan Raya Kecil DUN Balakong yang menyaksikan MCA agak angkuh menyatakan, parti mereka tidak memerlukan bantuan jentera pilihan raya dari parti komponen BN yang lain.

    Mereka dilihat seolah-olah begitu yakin dapat memenangi hati kaum Cina dengan memisahkan diri mereka dengan UMNO dan MIC. Malah, lebih menghairankan, MCA menjadi satu-satunya parti komponen BN yang begitu menentang keras sebarang usahasama antara UMNO dan PAS dalam apa jua bentuk.

    Adakah ini yang dinamakan mereka sebagai strategi politik memenangi hati kaum Cina? Perlu ditegaskan disini bahawa, jentera akar umbi MCA sebenarnya menjadi punca kenapa MCA ditolak mentah-mentah oleh kaum mereka sendiri.

    Manakan tidak, dalam beberapa kes, andai ada mana-mana program melibatkan pemimpin MCA, keterlibatan kaum lain terutama jentera parti komponen lain seolah-olah tidak dipedulikan. Lebih memburukkan keadaan adalah permintaan mereka yang agak melampau untuk berada di saf kerajaan juga turut menyumbang kepada penolakan pengundi pada PRu ke 14 yang lalu.

    Hari ini, MCA mempunyai satu kerusi Parlimen yang dimenangi oleh Presiden MCA hari ini, Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong. Namun, kemahuan dan lagak mereka seolah-olah merekaah parti paling dominan yang ada di dalam BN hari ini. Ini memang satu perkembangan yang langsung tidak sihat bagi memulihkan semangat para penyokong BN mahupun memulihkan imej parti.

    Seharusnya, andai timbul sebarang cadangan seumpama ini, rasanya para pemimpin MCA sudah tahu menilai dan tahu saluran mana yang betul untuk mereka mengemukakan cadangan ini. Bukannya memanggil para media dan memberitahu apa yang mereka mahu. Ini bukan jalan terbaik memulihkan imej BN mahupun memulihkan semangat para penyokong.

    Andai ditanya, masih relevankah MCA untuk terus kekal berada di dalam Barisan Nasional, secara amnya, jawapannya sudah semestinya tidak. Namun andai di ambil semangat Perikatan yang membentuk tiga buah parti pelbagai kaum yang menjadi tunjang kepada kemerdekaan negara, MCA perlu duduk kembali bersama UMNO dan MIC bagi memikirkan jalan terbaik memulihkan BN.

    Sejak berpuluh tahun yang lalu, amalan untuk duduk bersama dan berbincang lah menjadi kunci kepada kejayaan BN mengekalkan kuasa untuk lebih 6 dekad. Jika baru diuji sudah melatah, nampaknya MCA belum lagi mencecah usia matang dalam politik. Andai belum matang, bagaimana mahu menjadi juara di hati rakyat bagi membela rakyat?
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Masih Relevankah MCA? Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top