My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 17 December 2018

    Penolong Pengurus The Star Dipenjara 30 Bulan, Denda RM100,000



    PENOLONG pengurus Jabatan Pengarang akhbar The Star dihukum penjara 30 bulan dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur, hari ini, selepas didapati bersalah menerima rasuah RM20,000. 

    Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu terhadap M Youganesparan, 54, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara 18 bulan, sekiranya gagal tertuduh membayar denda.

    Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam G Shankar yang mewakili Youganesparan untuk menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu rayuan dan menaikkan jumlah jaminan kepada RM40,000.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, Youganesparan didakwa menerima suapan RM20,000 daripada Mohd Emir Mavani Abdullah, 55. Wang itu kononnya untuk diberi kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai dorongan kepada pegawai SPRM itu menyelesaikan kes berkaitan Mohd Emir yang disiasat SPRM.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Dome Cafe, Lot G20 Vista Power, The Intermark Jalan Tun Razak di sini, jam 9.15 malam, pada 30 Mei 2017. Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon dijatuhi hukuman ringan dengan alasan tertuduh adalah penganggung tunggal keluarga dan mengalami masalah kesihatan.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Abdul Rashid Sulaiman, membantah rayuan itu dan memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana rasuah adalah kesalahan serius dan untuk memberi kesedaran kepada orang awam supaya tidak melakukan kesalahan sama.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Penolong Pengurus The Star Dipenjara 30 Bulan, Denda RM100,000 Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top