Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) sudah membelanjakan RM39.7 bilion dari 2009 hingga November tahun ini bagi membeli komponen daripada vendor tempatan.
Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, berkata dalam tempoh sama, PERODUA memperuntukkan RM4.3 bilion dalam perbelanjaan modal dengan RM1.4 bilion untuk PERODUA Global Manufacturing Sdn Bhd (PGMSB), kemudahan pengilangan tercanggih pengeluar kereta nasional kedua negara.
“Pelbagai pencapaian diraih sejak 2009 hingga November 2018, yang mana penguasaan pasaran PERODUA juga berkembang kepada 38 peratus dari 31.1 peratus.
“Dari segi jualan, PERODUA menjual 209,000 unit setakat November 2018, berbanding setahun penuh ada 2009 iaitu 167,000 unit, selain melepasi jualan tahun lalu iaitu 205,000 unit,” katanya ketika menyampaikan taklimat sempena Majlis Makan Malam Istimewa Bersama PERODUA-Media di sini.
Aminar Rashid yang akan bersara pada 31 Disember depan adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif paling lama berkhidmat dengan PERODUA. Tempat beliau akan digantikan Datuk Zainal Abidin Ahmad yang sebelum ini adalah Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd berkuatkuasa 1 Januari ini.
Di bawah kepimpinan Aminar Rashid selama sembilan tahun, PERODUA turut mencatat pencapaian dari segi pendaftaran dengan pertumbuhan sebanyak 23 peratus dalam tempoh lapan tahun iaitu tiga kali ganda lebih tinggi berbanding pertumbuhan jumlah jualan kenderaan (TIV) iaitu tujuh peratus dalam tempoh sama.
Selain itu, PERODUA turut merekodkan pengeluaran berjumlah 199,000 unit kenderaan setakat November 2018 dari 161,000 unit bagi setahun penuh 2009. Mengulas mengenai penggantinya, Aminar Rashid berkata, sokongan diterima selama ini harus berterusan di bawah kepimpinan Zainal Abidin.
“Kejayaan yang dikecapi PERODUA tidak akan dicapai dengan usaha seorang saja. Kerja berpasukan adalah kunci utama. Saya berharap semua dapat menyokong Zainal Abidin dalam menerajui PERODUA,” katanya.
0 comments:
Post a Comment