PASANGAN pelakon suami isteri Azwan Kombos, 33, dan Ezzaty Abdullah, 28, mengakui terkejut melihat paparan objek pelik dalam gambar dan video yang diambil ketika sambutan ulang tahun kelahiran puteri sulung mereka, Harum Dalia yang genap setahun pada 6 Disember lalu.
Ezzaty berkata, gambar dan video yang diambil olehnya dan dimuat naik ke Instagram ini mendapat respon segera seorang peminat yang melihat kewujudan objek pelik ini. “Pada 6 Disember lalu, saya ambil gambar Harum dan masukkan di Instagram story. Kemudian, seorang peminat komen, ada benda di belakang dekat tangga rumah.
“Sebenarnya ketika itu saya hanya berdua dengan Harum dan kami tengah tunggu azan Maghrib sementara nak potong kek Harum. Saya buat video tanya Harum di mana ayahnya. Saya memang suka post video Harum di Instagram Story kerana peminat suka tengok,” katanya ketika mengadakan majlis sambutan setahun Harum Dalia baru-baru ini.
Menurutnya, peminat ini segera memberikan komen mengatakan ada sesuatu ditangga. “Mulanya saya ingat dia main-main dan malas nak melayan. Kemudian Azwan sampai rumah dan saya mula besarkan gambar tadi. Memang saya ternampak satu gambar menyeramkan dan terus ajak Azwan keluar rumah,” katanya.
Azwan pula mencelah, kejadian ini menimbulkan ketakukan terhadap Ezzaty yang kini takut tinggal sendirian. “Ezzaty nak naik tingkat atas untuk tidur pun kena ditemani saya sekarang. Sampaikan saya nak keluar pergi gimnasium pun susah.
“Kami dah merujuk masalah ini kepada tiga ustaz dan insyaAllah rumah kami sedang dipulihkan. Seorang ustaz kata makhluk ini enggan keluar. Tapi dia sudah `pagar rumah kami’ dan minta kami berdoa tiada apa-apa berlaku,” katanya.
Pasangan ini bagaimanapun keberatan membenarkan gambar ini dikongsi oleh pihak media. Dalam pada itu, Ezzaty mengakui sering membawa Harum ke lokasi kerana anaknya tidak pernah menimbulkan sebarang masalah.
“Saya pernah beberapa kali bawa Harum pergi set. Dia sudah biasa dengan orang dan kalau saya sedang dalam penggambaran, dia memang tak pernah ganggu. Penggambaran berjalan lancar, Cuma kadang-kadang saya kena berhenti sekejap untuk menyusukan dia. Kadangkala saya pergi kerja dan tinggalkan Harum untuk dijaga oleh Azwan,” katanya.
Sementara itu, berbeza pula buat Azwan apabila enggan membawa Harum sekiranya sedang bekerja. “Saya lebih suka fokus jaga dia di rumah kerana semua kelengkapan cukup tersedia. Tak perlu nak fikir cari barang-barang lagi untuk dia,” katanya.
Azwan dan Ezzaty pernah membawa Harum ke Dubai ketika menjalani penggambaran sebuah drama sebelum ini. “Mula-mula Azwan risau juga. Tapi kerana saya ada, dia okaylah. Ikutkan Azwan, dia memang tak nak bawa kerana semuanya ada di rumah. Saya sebagai ibu memang nak anak ada sentiasa berada di sisi,” katanya.
0 comments:
Post a Comment