LAUTAN manusia membanjiri pekarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur sejak pukul 8 malam kelmarin semata-mata untuk membeli tiket perlawanan akhir pertama Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 antara Malaysia dan Vietnam malam esok.
Kesemua 80,000 keping tiket yang diperuntukkan termasuk 40,000 tiket yang dijual secara fizikal di tiga lokasi di sekitar Lembah Klang semalam habis dibeli dalam masa singkat.
Tiga lokasi itu ialah kaunter tiket pintu A dan E Stadium Nasional, Bukit Jalil; Arena Futsal FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya (hanya bagi yang memiliki keratan tiket separuh akhir kedua di Bangkok) dan 1,000 keping di Al-Ikhsan Sports cawangan IOI City Mall, Putrajaya.
Terdahulu, sebanyak 40,000 tiket yang dijual dalam talian pada Jumaat dan kelmarin juga habis dibeli dalam masa singkat. Tinjauan mendapati barisan panjang menunggu di kaunter A dan E stadium itu sebelum jualan tiket dibuka kira-kira pukul 10 pagi.
Sebahagian peminat yang ditemui memaklumkan bahawa mereka berada di stadium itu untuk membeli tiket sejak pukul 8 malam kelmarin. Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, FAM amat menghargai sokongan peminat tempatan terhadap Harimau Malaya pada aksi pertama final berkenaan, namun hanya 80,000 keping tiket disediakan.
Beliau memaklumkan kaunter jualan tiket sepatutnya dibuka pada pukul 10 pagi telah diawalkan kerana FAM prihatin dengan keadaan penyokong yang telah berbaris sejak malam kelmarin.
Malaysia mencatat keputusan agregat seri 2-2 menentang Thailand pada aksi separuh akhir namun mara ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan. Vietnam pula menempah tiket ke final setelah mencatat kemenangan agregat 4-2 ke atas Filipina pada satu lagi aksi separuh akhir kejohanan yang menggunakan format timbal balik itu.
0 comments:
Post a Comment