SAMBUTAN luar biasa terhadap konsert BLACKPINK 2019 World Tour (In Your Area) Kuala Lumpur menyebabkan persembahan kumpulan terkenal Korea Selatan itu akan diadakan selama dua hari iaitu pada 23 dan 24 Februari depan.
Ini berikutan tiket bagi konsert yang dijadual berlangsung pada 23 Februari 2019 habis terjual dalam masa dua hari sahaja selepas dilancarkan pada 12 Disember lalu. Syarikat penganjur, Macpiepro dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil inisiatif itu untuk memberi peluang kepada peminat BLACKPINK yang terlepas untuk membeli tiket konsert berkenaan.
Katanya, berikutan itu konsert tambahan BLACKPINK akan berlangsung pada 6 petang keesokannya di lokasi yang sama. Tiket konsert akan dijual pada harga sama iaitu RM273 (Zon Biru), RM373 (Zon Hijau), RM483 (Zon Ungu), RM573 (Zon Kuning), RM673 (Zon Merah) dan RM693 (Zon BLINK).
MacpiePro akan membuka jualan tiket selama tiga hari dari 28 hingga 30 Disember ini bermula jam 12 tengah hari. Tiket akan dijual di pusat membeli-belah Atria Shopping Gallery dan kedai gaya hidup digital Mcalls di NU Sentral, Sunway Pyramid dan Mid Valley Megamall.
Selain itu, tiket juga boleh diperolehi di Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Paradigm Mall JB, Pusat Servis Mcalls MMall Pulau Pinang dan booth Mcalls di Plaza Low Yat. Manakala jualan tiket secara dalam talian di laman web rasmi MacpiePro (www.macpiepro.com) akan dibuka pada 12 tengah hari 31 Disember ini.
0 comments:
Post a Comment