My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 17 December 2018

    Melayu Memang Tidak Pernah Sedar Sampai Kiamat!



    Jika kita mengimbas setiap bait lirik lagu "anak kecil main api", jika dihayati dengan mendalam, pasti akan timbul rasa sebak di dalam hati setiap anak Melayu yang masih kekal mengagungkan identiti bangsa Melayu itu sendiri.

    Secara sedar atau tidak, bait-bait lirik berkenaan hari ini telah sedikit demi sedikit telah menjadi kenyataan. Selama beratus tahun kita pernah dijajah sehinggalah tiba detik 32 Ogos 1957, barulah kaum Melayu merasai erti sebenar kemerdekaan dan memiliki negara sendiri.

    Namun, hari ini, detik yang pernah menjadi kebanggaan dan dipertahankan untuk lebih 60 tahun, akhirnya sudah mula menampakkan bibit-bibit kejatuhan. Ianya seumpama mengulangi detik bagaimana kerajaan Melayu Melaka dijatuhkan oleh anak Melayu itu sendiri sehingga mengizinkan Portugis menawan Melaka pada 24 Ogos 1511.

    Secara amnya, menerusi watikah khas dari Istana Johor pada 11 Mei 1946, UMNO adalah parti yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan dan sahsiah budaya Melayu di Tanah Melayu ini. Menerusi UMNOlah perjuangan menuntut kemerdekaan dapat direalisasikan dan seterusnya pembangunan negara dapat dilakukan.

    Detik 9 Mei 2018 menjadi satu mimpi ngeri buat kaum Melayu yang masih kekal setia menjunjung keutuhan kuasa politik Melayu. Pada detik inilah, keutuhan UMNO berjaya dirobohkan dan lebih tragis lagi, Barisan Nasional yang selama ini menjadi gabungan parti politik semua kaum di Malaysia berjaya dihancurkan.

    Pada detik inilah, para pemimpin UMNO yang dahulunya gah mengagung kuasa merasai pedihnya detik tertewas. Pada detik inilah menyaksikan pelbagai hak eksklusif Melayu sedikit demi sedikit berjaya dihakis dan disamaratakan dengan semua kaum yang ada. Paling menyedihkan, pada detik inilah menyaksikan hak ketuanan Melayu dan kuasa Raja-Raja Melayu sudah mula dipertikaikan.

    Lebih memburukkan keadaan, jika selama ini kaum Melayu yang menganggotai UMNO begitu setia dengan para pemimpin terutamanya tampuk Presiden, hari ini, situasi berkenaan tidak lagi berlaku. Sudah ada suara-suara yang mahu Presiden ditumbangkan atau setidak-tidaknya meletakkan jawatan, suatu perkembangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

    Semuanya hanya kerana munculnya pelbagai berita palsu dan negatif yang akhirnya berjaya merobek keutuhan yang sedaya upaya cuba di pupuk oleh beberapa orang pemimpin Melayu untuk menyaksikan buat kali pertama sejak lebih 70 tahun yang lalu, kaum Melayu berada di bawah satu panji iaitu panji penyatuan ummah.

    Mungkin semua orang sudah mengetahui bahawa sejak berpuluh atau mungkin beratus tahun yang lalu, kaum Melayu ini memang tidak mungkin bersatu. Ada sahaja halangan untuk menyaksikan kaum Melayu bersatu kecuali dalam beberapa kes seperti menentang perlaksanaan Malayan Union dan kes Natrah di Singapura.

    Selebihnya, kaum Melayu lebih gemar berada di puak-puak masing-masing. Masing-masing lebih senang berperang antara satu sama lain sehinggakan kaum pendatang yang dibawa masuk untuk menoreh getah dan melombong bijih timah yag dahulunya milik orang Melayu, mula menunjukkan kuasa dan mula mempamerkan belang mereka.

    Menyedari akan hakikat kaum Melayu sudah terpecah kepada lebih 5 puak, mereka-mereka ini mula menunjukkan penyatuan antara mereka dan mula menuntut hak atas tanah yang sebelum ini mereka tumpangi. Bagi kaum Melayu pula, mereka kekal bertelagah antara satu sama lain tanpa mempedulikan kedudukan mereka sudah terancam dan bakal diusir dari tanah sendiri.

    Maka, kita akan melihat sendiri bagaimana kaum Melayu yang sudah lama hilang pegangan dalam sektor ekonomi, kini bakal kehilangan kuasa sebagai empunya tanah serta kuasa pegangan politik angkara pertelagahan sesama sendiri. Sehinggakan Presiden UMNO, parti utama kaum Melayu yang dilantik secara demokrasi sendiripun mahu digulingkan.

    Kadangkala, ingatan ini akan terimbau pada detik 8 Disember 2018 yang lalu. Pada ketika itu, kesemua pemimpin utama Melayu samada dalam politik mahupun Persatuan bukan Kerajaan melaungkan betapa pentingnya kita bersatu padu dalam menentang sebarang dakyah dan hasutan kebencian dan fitnah yang cuba dilemparkan oleh musuh-musuh Islam dan Melayu.

    Nampaknya, seperti telahan penulis sebelum ini. Usai sahaja detik yang sepatutnya dijadikan detik emas penyatuan ummah berlaku, keluar sahaj dari arena Dataran Merdeka, Melayu yang hadir kembali kepada keadaan asal iaitu berpecah belah tanpa ada pengakhirannya. Hilang sudah seruan penyatuan ummah. Hilang sudah perpaduan Melayu. Hilang sudah kesetiaan kepada Ullul Amri.

    Yang kekal hanyalah, Presiden UMNO perlu letak jawatan disebabkan beberapa kes khusus, pertelagahan sesama Melayu, perebutan kuasa politik sehinggalah perebutan perkara yang jika difikir secara logik akal sebagai perkara yang amat bodoh dan tidak sepatutnya berlaku pergeseran.

    Melayu masih kekal pada takuk yang lama, berpecah belah, saling mengumpat di belakang, saling curiga mencurigai, tikam menikam di belakang sehinggakan, apa yang sepatutnya mereka tentang semakin hari semakin terlepas dari tangan.

    Andai ada yang masih kekal melaungkan penyatuan ummah dan perpaduan anak-anak Melayu, percayalah, laungan kalian itu tidak lebih dari sekadar retorik. Melayu tetap Melayu dan tidak ada apa yang dapat merubah mentaliti Melayu untuk kembali bersatu di bawah satu panji penyatuan ummah. Pendek kata, Melayu memang tidak pernah sedar sampai kiamat.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Melayu Memang Tidak Pernah Sedar Sampai Kiamat! Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top